BERITA SEMASA

Warga emas maut langgar tong padi traktor

SHAH ALAM – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh tong padi sebuah traktor yang diletakkan di tepi jalan, sebelum dia dilanggar oleh sebuah lagi motosikal dalam kejadian di Jalan Tali Air 11, Ban 1, Sungai Nibong, Sekinchan, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, dalam kejadian pada pukul 10 malam itu, mangsa yang berusia 70 tahun dilaporkan sedang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Ban 1 menghala ke Ban 2.

“Tiba di lokasi, dia terlanggar bahagian belakang tong padi traktor yang diparkir di kiri jalan hingga menyebabkannya terjatuh.

“Pada masa sama, sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya.

Md Yusof berkata, mangsa yang cedera di muka dan kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang Yamaha Y15ZR turut cedera di muka.

“Mayat dibawa ke Hospital Sabak Bernam untuk bedah siasat, manakala pemilik tong padi traktor sudah dikenal pasti dan sudah diambil keterangan,” katanya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil menghubungi Inspektor Siti Atikah Md Ali di talian 013-3328212 bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button