Pendaki hilang di Gunung Batu Putih: Botol air, tapak kaki dan bungkusan makanan ditemui
TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih di sini berjaya menemui beberapa petunjuk penting termasuk botol air, plastik bungkusan makanan ringan dan kesan tapak kaki di kawasan hutan semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, jejak berkenaan ditemui di laluan Kem Sukaneka menuju Gunung Rayu oleh anggota penyelamat JBPM yang menjalankan pencarian di kawasan terbabit.
Menurut beliau, maklumat mengenai penemuan itu hanya dapat dikongsikan selepas pasukan penyelamat berjaya keluar dari kawasan hutan.
“Info penemuan ini diperoleh daripada pasukan penyelamat kelmarin, namun hanya dapat dikongsikan hari ini (semalam) selepas mereka keluar dari hutan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, operasi menjejak Jaslinda Saludin, 49, diteruskan pagi semalam dengan penghantaran lapan anggota baharu ke Bukit Berapit 2 menggunakan pesawat AW139 bermula pukul 9.15 pagi.
Pasukan itu dihantar bagi menggantikan anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) serta Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang sebelum ini berada di lokasi operasi.
BACA JUGA:
Pendaki wanita berpengalaman hilang daki Gunung Batu Putih
Katanya, lima anggota STORM dan MGP yang berada di Bukit Berapit 2 semalam berdepan cuaca buruk termasuk hujan lebat dan angin kencang, namun semuanya selamat keluar ke Kuala Woh pada pukul 4 pagi.
“Tiga lagi anggota STORM keluar dari hutan pada pukul 9.30 pagi menggunakan pesawat AW139 sebelum diturunkan di Pos Kawalan Hadapan (PKH).
“Secara keseluruhan, lapan anggota STORM dan seorang anggota MGP daripada pasukan penyelamat pertama yang memasuki Gunung Batu Putih pada 25 Mei lalu sudah selamat keluar,” katanya.
Sabarodzi berkata, sehingga pukul 6 petang semalam, pasukan SAR kedua yang memasuki kawasan operasi sudah tiba di Kem Sukaneka selepas berjalan menyusuri permatang gunung selama lima jam.
Menurutnya, pencarian kini difokuskan di laluan menuju Kem Sekali berdasarkan maklumat semasa serta garis masa perjalanan mangsa sebelum dilaporkan hilang.
Beliau turut memaklumkan pasukan penyelamat yang menangguhkan operasi pada pukul 6 petang akan bermalam di puncak gunung sebelum menyambung semula pencarian pagi ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





