BERITA SEMASADALAM NEGERI

Anwar hubungi Ketua Menteri Tamil Nadu, rancang pertemuan September ini

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbualan telefon dengan Ketua Menteri Tamil Nadu, C. Joseph Vijay sambil mengucapkan tahniah atas kepercayaan yang diberikan rakyat negeri itu untuk beliau menerajui pentadbiran baharu.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau turut berkongsi rancangan lawatan rasmi ke India pada September depan bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS serta mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Menurut beliau, sekiranya keadaan mengizinkan, lawatan tersebut juga akan disertakan dengan kunjungan singkat ke Tamil Nadu.

“Saya turut memaklumkan akan ke India pada September nanti bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS serta mengadakan pertemuan dengan PM Modi, dan jika ada kesempatan akan mengadakan kunjungan singkat ke Tamil Nadu,” katanya.

Perdana Menteri turut mendoakan agar Vijay terus diberikan kekuatan dan kebijaksanaan dalam memimpin kerajaan negeri serta melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan demi kesejahteraan rakyat Tamil Nadu.

“Semoga CM Vijay terus diberikan kekuatan dan hikmah untuk memimpin serta mentadbir dengan baik demi kesejahteraan rakyat dan masa depan yang lebih baik buat Tamil Nadu,” katanya.

Awal bulan ini, Vijay mencipta kemenangan besar dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Tamil Nadu 2026 apabila gabungan pimpinannya memperoleh sokongan majoriti dengan 144 undi dalam Dewan, berbanding 22 undi yang menentang dalam dewan yang mempunyai 234 kerusi.

Perkembangan itu dilihat membuka lembaran baharu hubungan antara Malaysia dan Tamil Nadu, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan hubungan masyarakat India di kedua-dua wilayah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button