BERITA SEMASAPMX

Anwar tekad perkukuh PKR Kedah

ALOR SETAR – Presiden Anwar Ibrahim menegaskan tekad memperkukuh organisasi dan jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah agar terus mantap, tersusun serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Menurut beliau, usaha memantapkan parti perlu digerakkan secara menyeluruh dengan gabungan kepimpinan berpengalaman, kebijaksanaan tokoh lama serta suntikan idealisme generasi baharu.

Beliau berkata demikian melalui hantaran di Facebooknya selepas menghadiri Konvensyen PKR Negeri Kedah di sini bersama barisan kepimpinan dan ahli parti.

Anwar berucap pada majlis Konvensyen PKR Negeri Kedah.

Anwar yang juga Perdana Menteri menegaskan, PKR Kedah mesti kekal sebagai parti yang matang, berdisiplin serta setia kepada amanah perjuangan reformasi sejak awal penubuhannya.

“Keutamaan kini adalah memperkukuh jentera di semua peringkat agar bergerak sederap dan lebih tersusun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan terhadap Pengerusi PKR Kedah, Saifuddin Nasution Ismail untuk menerajui usaha memperkasa parti di negeri ini.

Tegasnya, semua pimpinan yang diberi amanah perlu memainkan peranan secara berkesan dan memberikan komitmen penuh demi memastikan PKR Kedah terus kukuh serta diyakini rakyat.

Tambah beliau, kekuatan organisasi di peringkat akar umbi menjadi asas penting dalam membina dan mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap parti.

Anwar turut mengingatkan bahawa Kedah mempunyai sejarah signifikan dalam perjalanan perjuangan parti, justeru gerak kerja perlu dirancang secara teratur melalui kesatuan pasukan, pengukuhan cabang serta pendekatan politik berasaskan fakta dan pembelaan nasib rakyat.

“Kesatuan dan kesetiaan kepada parti mesti diperkukuh bagi memastikan PKR kembali diyakini untuk menerajui negeri ini dengan kepimpinan yang adil dan berintegriti,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button