Kerjasama ASEAN-AS demi keamanan dan kemakmuran serantau – Anwar
KUALA LUMPUR – Hubungan erat antara ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) terus berkembang kukuh berasaskan aspirasi bersama untuk keamanan serta kemakmuran rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kehadiran Presiden AS, Donald J. Trump, sambil menekankan kepentingan hubungan strategik komprehensif antara kedua-dua pihak.
“Saya amat berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Presiden Donald Trump ke Kuala Lumpur dan ke Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-13.
“Kita berkongsi aspirasi untuk keamanan dan kemakmuran, dan hubungan ini kini telah berkembang menjadi perkongsian strategik komprehensif,” katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Menurut beliau, kekuatan ekonomi antara AS dan Asia Tenggara mampu membuka lembaran baharu yang digambarkan sebagai “zaman keemasan” untuk semua negara terlibat.
Anwar berkata, nilai perdagangan dua hala antara ASEAN dan AS mencapai rekod AS$453 bilion tahun lalu, sekali gus menyumbang kepada peluang pekerjaan serta pertumbuhan perniagaan di kedua-dua rantau.
“Hari ini kita akan memperkukuh lagi janji hubungan ini melalui penerimaan ASEAN–US Joint Vision Statement bagi membina ASEAN dan Amerika yang lebih kukuh, selamat dan makmur,” katanya lagi.
Perdana Menteri turut memuji kejayaan penandatanganan Kuala Lumpur Accords antara Kemboja dan Thailand yang disifatkannya sebagai bukti kemahuan politik tinggi kedua-dua negara untuk mencapai keamanan serantau.
“ASEAN menghargai peranan penting Presiden Trump dalam memudahkan perjanjian ini yang menunjukkan komitmen terhadap kestabilan dan keamanan di rantau ini,” katanya lagi.
Selain itu, Anwar turut menyentuh mengenai krisis di Gaza dengan mengalu-alukan pelan komprehensif yang dikemukakan oleh Presiden Trump untuk menamatkan konflik tersebut.
“Pelan ini memberi sinar harapan kepada dunia bahawa walaupun dalam konflik paling sukar, diplomasi dan tekad boleh membawa penyelesaian.
“Dengan kepimpinan anda, Tuan Presiden, kami yakin keamanan yang adil dan berkekalan dapat dicapai,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








