Kes bunuh di Jalan Balakong: Tiga lelaki didakwa membunuh
KAJANG – Tiga lelaki dituduh di Mahkamah Majistret hari ini atas dakwaan membunuh seorang lelaki di Jalan Balakong, Batu 11 Cheras, antara 4 hingga 16 Mei lalu.
Tiga tertuduh, Chai Guan Cheong, 38, Cheng Kan Loon, 41, dan Koh Kim Yang, 41, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Ong Meng Seong, 38, di lokasi sama dalam tempoh antara pukul 12.04 malam, 4 Mei hingga 11 malam, 16 Mei lalu.
Kesalahan terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara hingga 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin, manakala tertuduh, Kim Yang diwakili Asyraaf Abu Bakar Hamzah.
Dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kemas kini laporan berkaitan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















