LUAR NEGARA

CEO UnitedHealthcare mati ditembak di Manhattan

NEW YORK – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UnitedHealthcare, Brian Thompson, 50, maut ditembak dalam satu serangan yang disifatkan sebagai “disengajakan dan dirancang” oleh pihak polis, di luar Hotel New York Hilton, Manhattan, semalam.

Pesuruhjaya Polis New York, Jessica Tisch berkata, ketika kejadian Thompson sedang menuju ke persidangan pelabur anjuran UnitedHealth Group apabila seorang lelaki bersenjata mendekatinya dari belakang dan melepaskan beberapa das tembakan.

“Thompson terkena sekurang-kurangnya satu tembakan di bahagian belakang dan satu lagi di betis kanan,” katanya memetik laporan NBCNews.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan Thompson yang berpakaian sut biru berjalan di kaki lima sebelum penyerang menghampirinya dari belakang dan melepaskan tembakan.

“Ramai orang lalu di hadapan suspek, tetapi dia kelihatan sedang menunggu sasarannya,” katanya lagi.

Ketua Detektif Joseph Kenny berkata, penyerang tiba di lokasi kira-kira lima minit sebelum kejadian dan melepaskan tembakan pertama ke arah belakang mangsa.

“Suspek kemudian menghampiri mangsa dan terus menembak dan senjatanya kelihatan tersangkut sebelum dia membetulkannya dan mula menembak semula,” katanya lagi.

Di lokasi kejadian, polis menemui tiga peluru hidup 9 mm, tiga kelongsong peluru yang sudah digunakan dan sebuah telefon bimbit.

Kenny mengesahkan bahawa serangan itu kelihatan disasarkan khusus kepada Thompson.

“Motif pembunuhan itu masih belum diketahui, tetapi berdasarkan bukti setakat ini, mangsa nampaknya menjadi sasaran utama,” katanya lagi.

Isteri mangsa, Paulette Thompson, memberitahu media bahawa suaminya pernah menerima ugutan.

“Ada beberapa ancaman. Saya tidak tahu butiran penuh, tetapi dia ada menyebut bahawa ada pihak tertentu yang mengugutnya,” katanya kepada NBC News.

Thompson disahkan meninggal dunia di Hospital Mount Sinai West.

Polis berkata, suspek memakai hoodie hitam, seluar hitam dan membawa beg galas kelabu.

“Dia dipercayai menggunakan senjata api dengan penyenyap sebelum melarikan diri dengan berjalan kaki dan kemudian menaiki basikal sewa,” katanya.

Suspek kali terakhir dilihat di Central Park, dan setakat pagi Rabu, tiada tangkapan dibuat. Crime Stoppers menawarkan ganjaran $10,000 kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini.

Pihak polis kini sedang giat menyiasat latar belakang kejadian untuk mengenal pasti motif di sebalik pembunuhan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button