13 remaja hadapi tuduhan bunuh pelajar KVLD ditangguh kepada 23 Julai
TAWAU – Seramai 13 remaja yang menghadapi pertuduhan membunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD), Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan dijadualkan mengetahui nasib mereka pada 23 Julai depan.
Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Tinggi Tawau selepas prosiding hujahan akhir yang sepatutnya berlangsung hari ini, ditangguhkan kepada tarikh tersebut.
Kes berprofil tinggi itu telah menarik perhatian awam sejak Mac lalu, melibatkan 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun yang didakwa membunuh rakan kolej mereka di bilik asrama pada pukul 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu.
Kesemua tertuduh telah memberi keterangan bersumpah di kandang saksi sepanjang peringkat pembelaan yang berakhir pada 15 April selepas 18 saksi pembelaan dipanggil.
Mereka dihadapkan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif memaklumkan pihaknya telah memfailkan hujahan utama setebal 266 muka surat termasuk hujahan balas terhadap pembelaan yang dikemukakan.
Lapan remaja diwakili oleh peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Ram Singh dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi tertuduh diwakili oleh Abdul Ghani Zelika dan barisan peguam lantikan Mahkamah, termasuk Vivien Thien dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








