Norreen Iman, suami sah bercerai talak satu
KUALA LUMPUR – Pelakon dan pempengaruh, Norreen Iman sah bercerai talak satu dengan suaminya, Mohd Razzi Abd Razak di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Perkembangan itu dikongsi menerusi hantaran di media sosial, namun kedua-dua pihak difahamkan mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung prosiding perceraian mereka.
Terdahulu, perkongsian mengenai perceraian pasangan itu tular di platform Threads selepas seorang pengguna media sosial memuat naik video yang diulang siar daripada akaun Instagram hiburan bersama kapsyen mengenai perpisahan berkenaan.
“Dari ‘free hair’ sampai dah berhijab. Ujian untuk dia,” tulis @Asdifizah pada kapsyen video yang di ‘repost’ tersebut.
Rata-rata netizen turut meninggalkan komen memberi kata-kata semangat kepada Norreen Iman dan bekas suaminya selain memuji pendekatan matang kedua-dua pihak yang memilih untuk tidak membuka aib atau mengeruhkan keadaan.
Pelakon Kamal Adli turut meninggalkan komen ringkas di hantaran berkenaan yang mendapat perhatian pengguna media sosial kerana beliau pernah melalui situasi serupa di lokasi yang sama Januari lalu.
“This place (mahkamah),” tulis Kamal ringkas pada komen ditinggalkan dan mendapat lebih 600 tanda suka daripada netizen.
Sebelum ini, Norreen Iman dan Mohd Razzi dilihat hadir ke mahkamah pada 29 April lalu bagi mengikuti prosiding permohonan pengesahan lafaz cerai.
Difahamkan, permohonan pengesahan lafaz cerai itu difailkan oleh Norreen sebagai plaintif pada April lalu.
Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








