BERITA SEMASA

Aminuddin mula tugas sebagai KSU baharu KPT

PUTRAJAYA – Datuk Dr Aminuddin Hassim secara rasmi memulakan tugas sebagai Ketua Setiausaha (KSU) baharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan beliau menggantikan Datuk Dr Anesee Ibrahim yang bersara wajib pada 9 Mei lalu selepas menamatkan perkhidmatannya.

Ketibaan Aminuddin di ruang legar kementerian disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Ahmad Rizal Adnan bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian.

Beliau kemudian mengetik perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasmi sebagai peneraju pentadbiran baharu kementerian itu.

Aminuddin mengetik perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasmi sebagai peneraju pentadbiran baharu kementerian itu.

KPT dalam kenyataan berkata, Aminuddin yang sebelum ini berkhidmat sebagai KSU Kementerian Pendidikan (KPM) akan membawa pengalaman luas dalam memastikan kesinambungan pembangunan bakat negara dari pendidikan asas hingga ke peringkat pendidikan tinggi.

“Pengalaman tersebut amat signifikan dalam memastikan graduan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta yang dilahirkan lebih berkualiti, kompetitif dan memenuhi aspirasi pembangunan negara.

“Selain itu, pengalaman beliau menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberikan kelebihan besar dalam merangka hala tuju penyelidikan dan pembangunan universiti serta memperkukuh ekosistem inovasi negara,” menurut kenyataan KPT.

Di samping itu, Aminuddin juga pernah memegang jawatan strategik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1994 dan pernah berkhidmat di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan Malaysia serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.

ksu kpt
Aminuddin mempengerusikan mesyuarat pertamanya bersama barisan kepimpinan KPT.

Dari sudut akademik, beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah dari University of York dalam bidang Ekonomi dan Pengurusan Alam Sekitar selain Ijazah Sarjana dari University of Warwick dan Ijazah Sarjana Muda dari University of Central England.

“Gabungan pengalaman dalam pendidikan, inovasi, penyelidikan dan pentadbiran awam diyakini mampu menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

“KPT optimis kepimpinan beliau akan memacu transformasi pendidikan tinggi negara, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh daya saing Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia di peringkat serantau dan global,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button