Kemalangan maut murid Tahun Dua: Pemandu van tidak mengaku bersalah
BATU PAHAT – Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang murid Tahun Dua di hadapan SK Seri Maimon, Selasa lalu.
Tertuduh, Nordin Ithnin, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass, lapor Buletin TV3.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu sebuah van secara melulu sehingga menyebabkan kematian Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, dalam kejadian di hadapan sekolah berkenaan di Parit Sulong pada pukul 12.30 tengah hari, 5 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 selepas pihak pendakwaan memohon jaminan RM10,000.
Mahkamah turut menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Selain itu, Arun memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menggantung lesen memandunya berkuat kuasa hari ini mengikut Seksyen 41(5) akta sama.
Berdasarkan siasatan polis, kejadian dipercayai berlaku ketika van dipandu tertuduh keluar dari kawasan sekolah selepas menghantar barang sebelum merempuh mangsa yang sedang berjalan di hadapan pintu pagar sekolah.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan organ dalaman sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Sulong.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








