Forum HAWANA jadi medan adaptasi cabaran digital, AI
KUALA LUMPUR – Forum Media sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tampil sebagai medan penting menghimpunkan pengamal media untuk membincangkan cabaran semasa industri termasuk keperluan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) tanpa mengabaikan integriti kewartawanan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, forum bertemakan Media Berintegriti, Teras Kredibiliti itu bukan sekadar ruang pertukaran idea, malah platform strategik dalam membentuk masa depan industri media yang lebih mampan dan diyakini masyarakat.
Menurut beliau, dunia kewartawanan ketika ini sedang berdepan perubahan pantas dalam landskap maklumat, justeru nilai integriti dan kredibiliti perlu terus diperkukuh bagi memastikan media kekal relevan.
“Tema ini bukan sahaja relevan, malah amat penting bagi memastikan daya tahan, kemampanan dan kekuatan berterusan dunia kewartawanan dalam landskap maklumat yang berkembang pesat ketika ini,” katanya ketika merasmikan forum berkenaan, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang, Arul Rajoo Durar Raj.
Nie Ching berkata, kemajuan teknologi termasuk AI perlu dimanfaatkan sebagai alat sokongan kepada pengamal media dan bukannya menggantikan peranan manusia sepenuhnya.
“Walaupun AI menawarkan alat yang berkuasa untuk meningkatkan kecekapan dan inovasi, ia sewajarnya membantu, bukan menggantikan, pertimbangan manusia, integriti dan akauntabiliti,” katanya memetik laporan Bernama.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan Dana Inovasi Media yang diperkenalkan kerajaan menunjukkan perkembangan positif dalam membantu organisasi media meningkatkan keupayaan operasi dan daya saing.
Katanya, bagi Fasa Satu, sebanyak 34 organisasi menerima peruntukan RM12.38 juta, manakala Fasa Dua melibatkan 16 organisasi dengan jumlah RM5.16 juta.
“Bagi Fasa Tiga pula, 10 organisasi menerima kelulusan peruntukan RM2.6 juta dan surat kelulusan mula diserahkan hari ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Fasa Empat yang ditutup pada 14 April lalu menerima 10 permohonan dengan tujuh daripadanya layak dan sedang melalui proses penilaian, manakala permohonan bagi Fasa Lima dibuka sehingga 14 Mei ini.
Menurutnya, organisasi media tempatan yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan digalakkan memohon bagi memperkukuh kemahiran, meningkatkan daya saing dan meneroka pendekatan baharu dalam industri media.
Forum yang berlangsung menjelang sambutan Hari Wartawan Nasional 2026 di Pulau Pinang pada 20 Jun depan itu menghimpunkan lebih 200 peserta daripada pelbagai organisasi media.
Sementara itu, Nie Ching berkata, inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang diuruskan Bernama terus memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan pengamal media di negara ini.
Menurut beliau, seramai 728 pengamal media telah menerima manfaat daripada tabung tersebut dengan jumlah sumbangan keseluruhan mencecah RM1.94 juta setakat 30 April lalu.
“Bagi tahun ini sahaja, seramai 122 pengamal media menerima bantuan membabitkan jumlah RM370,000,” katanya.
Beliau berkata, profesion wartawan bukan sahaja mencabar dari segi tuntutan profesionalisme, malah turut berdepan risiko keselamatan dan cabaran kesihatan, justeru sokongan berterusan terhadap kebajikan pengamal media amat penting.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







