Ops Tiris: KPDN rekod 506 kes penyelewengan barang kawalan
SANDAKAN – Sebanyak 506 kes melibatkan pelbagai penyelewengan barang kawalan telah direkodkan di seluruh negara melalui pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi tempoh 16 Mac sehingga semalam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 147 individu telah ditahan hasil daripada 38,071 pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara.
“Daripada 506 kes tersebut, penyelewengan bahan api diesel dan petron mencatatkan jumlag kes tertinggi,” katanya menerusi kenyataan media.
Sebelum ini, beliau telah memberikan taklimat status semasa Ops Tiris 4.0 kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Bagi negeri Sabah sahaja, sebanyak 6,108 pemeriksaan telah dilakukan yang merekodkan 132 kes, di mana diesel kekal menjadi komoditi paling tinggi diseleweng dengan 48 kes,” katanya.
Rentetan daripada keputusan Jemaah Menteri katanya, dua Pasukan Petugas Khas (Task Force) telah ditubuhkan bagi memantapkan operasi di wilayah berkenaan, di mana bagi peringkat Sabah dan Labuan, ia dipengerusikan secara bersama oleh Setiausaha Persekutuan (SUP) Sabah dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah.
Dalam perkembangan sama, Armizan mengumumkan bahawa pendaftaran Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor pengangkutan darat barangan kini diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 4 Mei lalu.
Langkah ini bertujuan memastikan penyaluran subsidi diesel lebih bersasar kepada syarikat yang layak di ketiga-tiga wilayah berkenaan.
“Bagi memudahkan urusan syarikat di kawasan luar bandar, KPDN turut menyediakan kaunter bergerak di program-program turun padang seperti Jualan RAHMAH MADANI, selain pembukaan kaunter fizikal di semua pejabat KPDN negeri dan cawangan,” tambah beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




















