AGAMABERITA SEMASA

Harga badal haji terlalu murah cetus keraguan, rakyat diminta berhati-hati

JEDDAH – Tawaran badal haji pada harga di bawah 9,000 riyal (sekitar RM9,500) menimbulkan keraguan kerana tidak sepadan dengan kos sebenar pelaksanaan ibadah itu di Tanah Suci.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, kadar tersebut dilihat tidak munasabah memandangkan pakej haji untuk pemastautin di Arab Saudi sendiri mencecah antara 9,000 hingga 10,000 riyal (RM9500 hingga RM10,500).

Menurutnya, tawaran badal haji yang terlalu rendah boleh menimbulkan persoalan terhadap kesahihan pelaksanaan ibadah berkenaan.

“Jika sesuatu perkhidmatan badal haji ditawarkan pada harga terlalu murah, ia wajar menimbulkan tanda tanya kerana kos sebenar menunaikan haji adalah tinggi.

“Tawaran sedemikian berkemungkinan tidak memenuhi rukun atau wajib haji yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas ketibaan 276 jemaah haji KT48 di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Malaysia supaya membuat semakan teliti sebelum mendapatkan perkhidmatan badal haji bagi memastikan ibadah dilaksanakan secara sah dan sempurna.

Dalam pada itu, Tengku Mohd Dzaraif berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan membabitkan rakyat Malaysia berkaitan kes penipuan atau badal haji palsu.

Bagaimanapun, katanya, media tempatan Arab Saudi melaporkan terdapat kes cubaan menunaikan haji tanpa permit sah.

“Alhamdulillah, setakat ini ia tidak melibatkan rakyat Malaysia dan diharapkan keadaan ini berterusan hingga akhir musim haji,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau turut memaklumkan kerajaan Arab Saudi kini memperketat penguatkuasaan menjelang kemuncak musim haji bagi memastikan hanya jemaah yang memiliki permit sah dibenarkan berada di Mekah.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan di laluan masuk selain operasi di rumah persendirian dan hotel bagi memastikan setiap individu mempunyai permit haji sah.

“Mana-mana individu tanpa permit akan diarahkan keluar dari Mekah dan jika masih berada di kota suci selepas tempoh yang ditetapkan, mereka dianggap melakukan kesalahan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button