KPDN mudahkan aduan harga barangan melalui sistem e-Aduan
KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan sistem e-Aduan bagi memudahkan pengguna membuat aduan berkaitan harga barangan tanpa perlu hadir ke pejabat kerajaan.
Melalui sistem itu, pengguna hanya perlu menghantar gambar, resit dan maklumat lokasi melalui WhatsApp atau Kod QR Aduan Suri.
Pendekatan digital itu mempercepatkan tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang melanggar peraturan harga serta mengurangkan prosedur birokrasi.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, setiap aduan yang diterima akan direkodkan terus ke dalam sistem dan disalurkan kepada pegawai penguat kuasa untuk tindakan segera.
“Tindakan awal boleh diambil dalam tempoh empat hingga lima jam waktu bertugas, manakala kebanyakan aduan diselesaikan dalam tempoh 48 jam bergantung kepada jenis kes dan kelengkapan maklumat,” memetik BH online.
Beliau berkata, pendekatan ini penting bagi negeri Kelantan, yang mempunyai lebih 1.7 juta penduduk dengan hanya 142 anggota penguat kuasa bagi memantau lebih 100,000 premis perniagaan.
“Aduan pengguna menjadi indikator awal bagi membantu KPDN memberi tumpuan kepada kes berisiko tinggi tanpa pemeriksaan rawak yang memakan masa,” katanya lagi.
Transformasi digital KPDN turut merangkumi proses pelesenan melalui sistem BLESS (Business Licensing Electronic Support System) yang membolehkan kelulusan Lesen Jualan Langsung dipendekkan daripada 90 hari kepada 21 hari.
Azman berkata, bukti digital membolehkan tindakan diambil di lokasi.
“KPDN merekodkan 838 aduan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, kebanyakannya melibatkan jualan melebihi kawalan harga, ketiadaan tanda harga dan penipuan harga makanan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








