Jasad kanak-kanak hilang dihanyut arus longkang ditemukan
KUALA SELANGOR – Kehilangan seorang kanak-kanak lelaki, Khairil Izani Khaizalullinudin, 10, yang dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus deras di Bandar Puncak Alam sejak tiga hari lalu terungkai apabila jasadnya ditemukan di tebing sungai, Sungai Buloh hari ini.
Jasad mangsa ditemukan terapung sebelum disedari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama yang melakukan pencarian di lokasi terbabit.
Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, mangsa yang dilaporkan hilang pada hari Selasa ditemukan pada pukul 1 tengah hari.
“Pasukan bomba PPDA bersama PBS Saujana Utama telah menemukan mangsa di Sungai Buloh menghala ke Ijok selepas memulakan pencarian dari pusat kawalan bomba (PKB).
“Pencarian bermula dari parit berhampiran Masjid Taman Alam Jaya sebelum bergerak kira-kira lima kilometer sehingga ke sungai berkenaan,” katanya memetik laporan Sinar Online.
Beliau berkata, secara keseluruhan, jarak dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh dianggarkan sekitar 10 kilometer.
BACA JUGA:
Kanak-kanak lelaki 10 tahun dikhuatiri lemas, dihanyut arus longkang ketika hujan lebat
Kanak-kanak lelaki 10 tahun hanyut dalam longkang masih belum ditemui, SAR diteruskan
“Mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian, masih berbaju cerah dan memakai seluar hitam,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa akan dibawa ke Unit Forensik Hospital UiTM bagi tujuan bedah siasat.
“Kes telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun lemas dipercayai dihanyutkan arus deras di sebuah longkang.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika mangsa sedang bermain bola di padang Fasa 3 Puncak Alam bersama dua rakannya yang masing-masing berusia 11 dan 12 tahun dalam keadaan hujan lebat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








