Bekas pengarah syarikat telekomunikasi didakwa kemuka dokumen palsu
KUALA LUMPUR – Selepas lebih sedekad berlalu, tindakan seorang bekas pengarah syarikat telekomunikasi mengemukakan dokumen palsu berkaitan perkhidmatan jurutera perunding (ICE) pada 2012 akhirnya dihadapkan ke muka pengadilan hari ini atas dakwaan tersebut.
Namun, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali di Mahkamah Sesyen, hari ini.
Mengikut pertuduhan, Wong Chee Keong, 73, didakwa telah memberikan borang pengisytiharan kepada Penolong Pengurus Bahagian Teknikal Servis, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, yang mengandungi pernyataan palsu dengan niat untuk memperdayakan mangsa berhubung perkhidmatan ICE.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 13 September 2012 di Menara Bank Pembangunan, ibu negara.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua orang penjamin, selain syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan sekali.
Sebutan semula kes akan dijalankan pada 29 Jun ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








