BERITA SEMASA

KESUMA perkukuh pasaran buruh, 10,000 peluang kerja ditawar di Karnival MYFutureJobs

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mempergiat langkah memperkukuh ketahanan pasaran buruh negara melalui pelaksanaan intervensi awal susulan kebimbangan terhadap kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Ramanan
Datuk Seri R Ramanan

Menterinya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, laporan kehilangan lebih 5,000 pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia bulan lalu tidak boleh dipandang ringan meskipun tiada bukti langsung mengaitkannya dengan konflik tersebut.

Menurut beliau, kestabilan sosioekonomi rakyat perlu terus diperkasa melalui penyediaan peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta peningkatan mobiliti tenaga kerja.

“Berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), terdapat peningkatan permohonan faedah kehilangan pekerjaan khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Peningkatan sebanyak 18.3 peratus direkodkan pada suku pertama tahun ini iaitu 14,194 permohonan berbanding 11,994 pada suku keempat 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sektor pengangkutan dan logistik antara yang paling terkesan ketika ini susulan pengecilan tenaga kerja serta pelaksanaan Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

“Konflik di Asia Barat turut memberi kesan kepada rantaian bekalan termasuk diesel sekali gus meningkatkan kos operasi industri.

“Dalam usaha mengurangkan kos, saya bimbang majikan mengambil langkah menamatkan perkhidmatan pekerja. Justeru, intervensi segera dilaksanakan melalui agenda reformasi pasaran buruh yang lebih dinamik,” katanya lagi.

Sehubungan itu, KESUMA melalui PERKESO akan menganjurkan Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 selama dua hari bermula Sabtu ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan sasaran lebih 10,000 pencari kerja.

Karnival tersebut menawarkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan dengan julat gaji antara RM3,000 hingga RM15,000, melibatkan penyertaan 100 majikan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Antara majikan terlibat ialah Permodalan Nasional Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Agrobank dan MIMOS Berhad, selain institusi kewangan seperti Malayan Banking Berhad, CIMB Group dan Bank Islam Malaysia Berhad.

Penganjuran di KLCC itu turut menjadi pembuka tirai kepada siri program nasional lain termasuk Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2026 serta Karnival LINDUNG Kerjaya di Kota Kinabalu, Sabah pada 9 Mei depan.

Ramanan turut berkata, KESUMA melalui PERKESO komited mempromosikan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) serta memperluas akses pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurutnya, langkah tersebut dijangka dapat mengurangkan ketidakpadanan pekerjaan selain mempercepat penempatan semula pekerja terjejas ke dalam sektor lebih stabil dan produktif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button