BERITA SEMASA

YKN, Public Islamic Bank perkasa TVET belia asnaf, lepasan institusi JKM menerusi Program iTEKAD Kerjaya

KUALA LUMPUR – Kerjasama strategik antara Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN) dan Public Islamic Bank Berhad (PIBB) kini memasuki fasa baharu apabila diperluaskan kepada pemerkasaan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) menerusi Program iTEKAD Kerjaya bagi membuka laluan kerjaya kepada belia daripada keluarga asnaf dan lepasan institusi kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut YKN dalam satu kenyataan, inisiatif itu merupakan kesinambungan kerjasama kedua-dua organisasi yang sebelum ini memfokuskan pelbagai program kebajikan termasuk membantu komuniti di kawasan pedalaman, sebelum diperluaskan kepada pembangunan modal insan melalui latihan kemahiran dan peluang pekerjaan yang mampan.

“Program iTEKAD Kerjaya dilaksanakan hasil kerjasama Public Islamic Bank Berhad dan KHTP Skills Centre menerusi Program Skill Iltizam dalam bidang Teknologi Pembuatan.

“Dalam program ini, YKN berperanan mengenal pasti peserta daripada kumpulan sasar, khususnya lepasan institusi kanak-kanak JKM, selain membiayai penyertaan mereka melalui Program Anjung Sinar YKN,” katanya hari ini.

Ykn
Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN) dan Public Islamic Bank Berhad (PIBB) bekerjasama memperkasa pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) menerusi Program iTEKAD Kerjaya.

Secara keseluruhan katanya, program itu melibatkan 80 pelatih daripada keluarga asnaf di seluruh negara.

Katanya, selain YKN, pembiayaan turut disokong oleh Public Islamic Bank Berhad bersama beberapa rakan strategik termasuk Lembaga Zakat Pulau Pinang (ZPP), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

KHTP Skills Centre pula katanya, menyediakan latihan kemahiran berasaskan keperluan industri serta laluan penempatan pekerjaan bagi meningkatkan kebolehpasaran peserta.

Ykn
Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN) dan Public Islamic Bank Berhad (PIBB) bekerjasama memperkasa pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) menerusi Program iTEKAD Kerjaya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron berkata, usaha memperkasa golongan rentan perlu melangkaui pemberian bantuan semata-mata dengan menyediakan akses kepada pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan.

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu memenuhi keperluan semasa mereka, malah membina keupayaan untuk menjana masa depan yang lebih baik.

“Kerjasama strategik seperti ini membuktikan bahawa apabila sektor awam, sektor korporat dan institusi latihan berganding bahu, lebih ramai golongan rentan dapat dibantu untuk membina masa depan yang lebih terjamin melalui peluang pendidikan, latihan kemahiran dan pekerjaan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Public Islamic Bank Berhad atas komitmen berterusan sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat, selain mengiktiraf peranan KHTP Skills Centre dalam menyediakan latihan yang memenuhi keperluan industri.

Bagi melengkapkan pembangunan peserta secara holistik, YKN turut menyediakan intervensi pembangunan sahsiah, kesejahteraan mental dan kemahiran insaniah.

Sejajar dengan komitmen itu, YKN menganjurkan Program Transformasi Dinamik dan Mindness Tour Kaunseling Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) YKN di Yan, Kedah pada 4 hingga 5 Julai lalu, melibatkan 22 pelatih Program Skill Iltizam.

Program berkenaan memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah, kesejahteraan mental, pemerkasaan kendiri serta kemahiran insaniah menerusi pelbagai aktiviti yang merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.

Sepanjang tempoh latihan di KHTP Skills Centre, peserta mengikuti latihan dalam bidang Teknologi Pembuatan dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh penaja.

Mereka turut menerima elaun pengajian, kemudahan penginapan, makan minum serta pengangkutan.

Program itu turut menyediakan penempatan pekerjaan serta pemantauan selama enam bulan selepas tamat latihan bagi membantu peserta menyesuaikan diri di tempat kerja.

Nordina turut mengalu-alukan lebih banyak syarikat korporat, institusi zakat dan organisasi berkaitan untuk bekerjasama dengan YKN dalam memperluaskan peluang pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan modal insan dan akses pekerjaan kepada lebih ramai golongan rentan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button