Lelaki nyaris maut kereta dihempap pokok tumbang
PUTRAJAYA – Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta dinaikinya dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Lebuh Wadi Ehsan dari Presint 18 menghala ke Pinggiran Putra, Presint 19, di sini hari ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.13 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 14 bergegas ke lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Operasi JBPM, PgB M. Haziq Hazmi memaklumkan, tindakan pantas anggota telah berjaya memastikan keselamatan mangsa serta mengawal keadaan di lokasi.
“Seorang lelaki yang berada di dalam kenderaan tersebut terperangkap selepas kenderaannya dihempap pokok, namun mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
“Mangsa telah diberikan rawat awal sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa tidak mengalami kecederaan parah.
Dalam pada itu, katanya, anggota bomba turut menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok menggunakan peralatan khas sehingga laluan kembali selamat dan boleh digunakan kepada pengguna jalan raya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








