Iran nafi akan serahkan stok uranium
TEHRAN – Kementerian Luar Iran menegaskan stok uranium negara itu tidak akan dipindahkan ke mana-mana negara.
Kenyataan itu sekaligus menangkis dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bahawa negara itu telah bersetuju untuk menyerahkannya.
“Iran tidak akan memindahkan uranium diperkaya ke mana-mana,” kata jurucakap kementerian Esmaeil Baqaei, kepada televisyen negara, lapor AFP.
Beliau turut menegaskan, isu pemindahan uranium ke AS tidak pernah dibangkitkan dalam rundingan yang diadakan.
Terdahulu, Trump menerusi platform Truth Social berkata, AS akan mendapatkan semua “debu nuklear” yang dihasilkan oleh pengebom B-2, merujuk kepada uranium diperkaya yang didakwa tertimbus akibat pengeboman AS, tahun lalu.
Bagaimanapun, Baqaei menjelaskan rundingan terkini, lebih tertumpu kepada usaha menamatkan konflik, bukannya mendapatkan semula uranium Iran.
“Rundingan sebelum ini tertumpu kepada isu nuklear, tetapi kini ia memberi fokus kepada penamatan perang, sekali gus memperluaskan skop perbincangan,” katanya.
Beliau menambah, pelan 10 perkara bagi menarik balik sekatan amat penting bagi Iran, selain isu pampasan terhadap kerosakan akibat perang yang dikenakan ke atas negara itu.
Dalam masa sama, Baqaei mengkritik kenyataan Trump bahawa sekatan laut AS ke atas pelabuhan Iran akan kekal sehingga perjanjian damai dicapai, walaupun Tehran telah mengumumkan pembukaan semula Selat Hormuz.
“Pembukaan dan penutupan Selat Hormuz tidak ditentukan di internet, tetapi di lapangan, dan angkatan bersenjata kami tahu bagaimana untuk bertindak balas terhadap sebarang tindakan pihak lawan,” katanya.
Menurutnya, apa yang digelar sebagai sekatan laut itu merupakan pelanggaran gencatan senjata dan Iran akan mengambil tindakan sewajarnya sebagai tindak balas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















