Lelaki ditahan disyaki dera anak anjing dalam tangki air
SHAH ALAM – Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki melakukan penganiayaan terhadap seekor anak anjing dengan merendam haiwan itu ke dalam tangki berisi air dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan di Seksyen 32, di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam kira-kira jam 2.14 pagi selepas video kejadian itu tular di aplikasi TikTok.
Menurutnya, rakaman berkenaan memaparkan seorang lelaki bertindak kasar dengan merendam anak anjing ke dalam tangki air, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.
“Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia awal 20-an kira-kira jam 3.40 petang di lokasi kejadian.
“Dalam operasi sama, tiga ekor anjing turut dirampas dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Laymand Rayne di talian 014-6907071.
Kes berkenaan mencetuskan perhatian ramai di media sosial susulan tindakan kejam terhadap haiwan yang disifatkan tidak berperikemanusiaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















