Lelaki ditemui lemas di Sungai Kenerong, Dabong
KUALA KRAI – Seorang lelaki berusia 47 tahun meninggal dunia akibat lemas di Sungai Kenerong, Dabong, berhampiran Stesen Jana Kuasa, petang semalam.
Mangsa, Abdul Hafidz Abdul Kudus, Ketua Setiausaha Masjid Baiturrahman, Kajang, dilaporkan hilang selepas dipercayai dibawa arus deras ketika mandi bersama sembilan rakannya di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, pihak polis menerima maklumat kejadian pada pukul 2.07 petang melalui panggilan kecemasan 999.
“Siasatan awal mendapati mangsa turun terlebih dahulu ke sungai untuk memeriksa kedalaman air sekitar pukul 12.30 tengah hari sebelum dibawa arus deras dan hilang dari pandangan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan melibatkan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Polis Dabong dan sepuluh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong,” katanya dalan satu kenyataan.
Mayat Abdul Hafidz ditemui pada pukul 4.13 petang oleh pasukan penyelamat dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat.
Kes ini sedang disiasat mengikut laporan mati mengejut akibat lemas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








