MCMC siasat individu sebar berita palsu diesel Filipina
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan kira-kira 329,000 tong bahan api diesel kepada Filipina.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan hari ini, pihak berkuasa telah mengesahkan diesel tersebut milik syarikat perdagangan Vitol dan bukan milik Petronas atau kerajaan Malaysia.
“Peranti komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut turut disita bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurut MCMC, setakat semalam, sebanyak 47 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penyebaran berita palsu mengenai krisis tenaga global di platform media sosial dan media digital susulan konflik di Asia Barat.
“Kesemua kes sedang dalam siasatan lanjut antara kandungan palsu yang tular termasuk dakwaan kenaikan harga bahan api jauh melebihi pengumuman sebenar, tarif elektrik naik, kapal Malaysia di Selat Hormuz membayar tol kepada Iran, pemberian subsidi BUDI95 kepada warga Singapura dan penghantaran 329,000 tong diesel syarikat Vitol ke Filipina yang didakwa milik Malaysia.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








