BERITA SEMASA

Pelajar dilarang guna pangkalan haram rentas sempadan

KOTA BHARU – Polis Kelantan menegaskan bahawa larangan merentas sempadan Malaysia-Thailand melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok terpakai kepada semua pihak tanpa sebarang pengecualian termasuk pelajar dan murid sekolah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mana-mana individu yang melanggar arahan tersebut akan dikenakan tindakan tegas termasuk penahanan, selaras dengan undang-undang yang telah lama dikuatkuasakan.

Mohd Yusoff Mamat
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

“Isu penutupan pangkalan haram sudah lama dikuatkuasakan lebih setahun yang lalu dan sepatutnya semua sudah tahu serta maklum undang-undang berkenaan.

“Saya sudah maklum sebelum ini, mana-mana yang mahu merentas sempadan perlu menggunakan laluan sah iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) termasuk pelajar dan murid sekolah.

“Malah, isu pelajar dari Thailand yang bersekolah di Rantau Panjang juga sudah diputuskan dengan beberapa pilihan diberikan sebelum ini.

“Tiada lagi alasan untuk menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Beliau berkata, individu yang ditahan kerana merentas sempadan secara haram akan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Mengulas mengenai tangkapan sekumpulan pelajar pada pagi semalam, Mohd Yusoff menjelaskan bahawa keluarga mereka sebenarnya telah dimaklumkan mengenai larangan tersebut dan kewajipan menggunakan laluan sah.

“Justeru, saya berharap selepas ini semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Tindakan ini bukan soal ketegasan semata-mata, sebaliknya ia melibatkan pematuhan kepada undang-undang.

“Jika saya membenarkan kumpulan pelajar ini merentas sempadan secara haram, akan ada pihak tidak bertanggungjawab yang mungkin mengambil kesempatan menggunakan mereka untuk membawa bahan terlarang.

“Malah, tindakan menutup laluan pangkalan haram termasuk kepada pelajar turut dipersetujui oleh Kementerian Pendidikan,” katanya.

Semalam, media melaporkan seramai 34 pelajar dan murid dari Thailand ditahan ketika cuba merentas sempadan secara haram melalui pangkalan Jambu untuk ke sekolah di Rantau Panjang.

Mereka ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) pada pukul 6.30 pagi.

Kesemua mereka merupakan warga Malaysia yang menetap di Thailand tetapi bersekolah di Rantau Panjang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button