BERITA SEMASA

6 lagi kapal Malaysia akan dibenar lalui Selat Hormuz

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam lagi kapal Malaysia yang masih terkandas di Selat Hormuz akan dibenarkan melalui laluan perairan itu secara berperingkat.

Perkara itu dimaklumkan Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi, lapor BERNAMA.

“Kami (Iran) akan membenarkan kapal itu melalui laluan berkenaan satu demi satu,” katanya di luar Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026, di sini hari ini.

Terdahulu, Kementerian Luar Malaysia mengesahkan bahawa sebuah daripada tujuh kapal milik Malaysia yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz susulan perkembangan situasi serantau telah diberikan laluan selamat dan kini sedang meneruskan pelayaran ke destinasi akhir.

Perkara itu susulan penglibatan diplomatik peringkat tinggi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada 26 Mac yang membolehkan Malaysia memperoleh kebenaran bagi tujuh kapal Malaysia untuk menyambung semula perjalanan mereka.

Laluan melalui Selat Hormuz, sebuah laluan sempit strategik yang menyaksikan 20 peratus daripada minyak mentah dan gas dunia melaluinya terjejas berikutan serangan berterusan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas wilayah serta kemudahan Iran sejak 28 Februari lalu.

Konflik berkenaan telah menyebabkan kekurangan bahan api dan mendorong kenaikan harga minyak, sekali gus mengakibatkan kesan ekonomi yang lebih meluas.

Iran mengehadkan laluan melalui Selat Hormuz kepada kapal dari negara yang dianggap “tidak bermusuhan” sambil menegaskan bahawa pihaknya akan memudah cara bagi memastikan laluan selamat kapal berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button