Iran tegaskan AS tiada hak tentukan syarat di Selat Hormuz
WASHINGTON – Iran menegaskan bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak boleh menentukan syarat penutupan atau pembukaan Selat Hormuz, walaupun Washington kini cuba mengemukakan tawaran baharu kepada Tehran.
Menurut agensi berita Iran, Fars, cadangan yang dikemukakan oleh Tehran melalui Pakistan kini sedang diteliti oleh pegawai pentadbiran Presiden (AS), Donald Trump.
Cadangan tersebut, yang dibincangkan dalam mesyuarat Isnin lalu, menggariskan beberapa ‘garis merah’ utama, khususnya melibatkan isu nuklear dan kawalan Selat Hormuz.
Menerusi pelan itu, Tehran dilapor melonggarkan sekatan di selat berkenaan manakala Washington menarik balik sekatan balas terhadap pelabuhan Iran, sementara rundingan lebih luas diteruskan termasuk berkaitan isu rumit program nuklear Iran.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, cadangan itu ‘lebih baik daripada jangkaan’.
Namun, beliau mempersoalkan sama ada pegawai Iran yang mengemukakannya mempunyai kuasa sebenar susulan pembunuhan beberapa pegawai tertinggi Iran oleh Israel.
Rubio dalam wawancara bersama Fox News berkata, tuntutan AS untuk membuka semula selat itu bermaksud mengembalikan keadaan seperti sepatutnya, sebelum serangan AS-Israel dilancarkan.
“Mereka sangat mahir dalam rundingan,” katanya sambil menegaskan sebarang perjanjian yang dicapai mesti benar-benar menghalang mereka daripada bergerak pantas ke arah pembangunan senjata nuklear.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Iran, Reza Talaei-Nik pula berkata, Washington perlu menghentikan tuntutan yang tidak masuk akal dan tidak rasional.
“AS tidak lagi berada dalam kedudukan untuk menentukan dasar terhadap negara merdeka,” katanya yang dipetik penyiar rasmi kerajaan.
Dalam pada itu, pegawai AS tidak menafikan laporan CNN dan The Wall Street Journal bahawa Presiden Donald Trump bersikap tidak yakin terhadap cadangan berkenaan.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari, memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya ‘konflik beku’ sekiranya penyelesaian muktamad gagal dicapai.
“Kami tidak mahu melihat kembalinya permusuhan di rantau ini dalam masa terdekat.
“Kami juga tidak mahu melihat ‘konflik beku’, di mana isu ini dibangkitkan kembali setiap kali ada kepentingan politik,” katanya pada sidang media.
Jurucakap tentera Iran, Amir Akraminia memberitahu penyiar rasmi kerajaan pada Selasa bahawa mereka tidak menganggap perang sudah berakhir, sambil menegaskan Tehran tidak mempercayai AS.
“Kami mempunyai banyak keupayaan yang belum digunakan, termasuk alat dan kaedah peperangan baharu berdasarkan pengalaman daripada dua perang terdahulu.
“Ini pasti membolehkan kami bertindak balas dengan lebih tegas terhadap musuh sekiranya pertempuran kembali tercetus,” katanya dalam satu wawancara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








