BERITA SEMASA

Tekanan ekonomi buka ruang jenayah terancang, rasuah meningkat – SPRM

PUTRAJAYA – Keadaan ekonomi yang mencabar berpotensi mencetuskan tekanan kewangan sehingga menyebabkan prinsip integriti diketepikan sekiranya tidak dikawal dengan baik, sekali gus membuka ruang kepada peningkatan jenayah terancang dan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki berkata, keadaan ekonomi yang mencabar sering mendorong individu dan kumpulan tertentu mengambil jalan mudah termasuk terlibat dalam aktiviti rasuah dan jenayah kewangan.

Menurutnya, tekanan ekonomi yang meningkat boleh mempercepatkan kecenderungan terhadap perlakuan tidak beretika sekiranya aspek tadbir urus tidak diperkukuh.

“Apabila berlakunya masalah ekonomi, tekanan kewangan akan meningkat dan ketika itu rasuah serta jenayah kewangan terancang turut cenderung meningkat jika kita tidak berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan jenayah masa kini semakin kompleks dan tersusun, melibatkan sindiket yang menggunakan teknologi canggih serta rangkaian profesional untuk menyembunyikan aktiviti haram.

Katanya, penglibatan segelintir golongan profesional seperti peguam dan akauntan turut membantu ‘membersihkan’ hasil aktiviti haram melalui sistem kewangan sah.

“Tanpa peranan golongan profesional ini, sukar untuk penjenayah memasukkan wang haram ke dalam sistem kewangan yang sah.

“Selain itu, tanpa rasuah, sindiket ini tidak akan mampu bertahan atau bergerak dalam tempoh yang lama secara sistematik,” ujarnya.

Tambah beliau, perkembangan itu menunjukkan jenayah kini merentasi pelbagai sektor dan sempadan, melibatkan rangkaian luas termasuk penguatkuasaan, logistik dan kewangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button