PERKESO sedia laksana Akta Pekerja Gig 2025, perkenal caruman automatik
KUALA LUMPUR – Langkah memperkukuh jaringan keselamatan sosial bagi pekerja gig terus diperkasa apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersedia sepenuhnya melaksanakan perlindungan berkenaan, termasuk melalui integrasi sistem bersama penyedia platform.
Menurut PERKESO, integrasi berasaskan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) itu bertujuan membolehkan potongan caruman dilaksanakan secara automatik daripada setiap transaksi pekerja gig tanpa memerlukan campur tangan manual, sekali gus meningkatkan kecekapan, ketelusan dan pematuhan.
Sehubungan itu, semua penyedia platform gig digesa supaya bersedia dari segi sistem masing-masing agar proses penyepaduan dapat dilaksanakan dengan lancar dan pantas.
“Langkah ini selari dengan pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872] yang menetapkan kewajipan kepada semua penyedia platform untuk mendaftarkan pekerja gig di bawah mereka dengan PERKESO.
“Selain itu, penyedia platform yang belum berdaftar juga tetap tertakluk kepada tanggungjawab mendaftar, dan memotong caruman bagi memastikan pekerja gig terus dilindungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di bawah mekanisme baharu tersebut, caruman pada kadar 1.25 peratus akan dilaksanakan secara automatik ke atas setiap transaksi pembayaran pendapatan sebaik sahaja sesuatu tugasan diselesaikan, bagi memastikan perlindungan sosial yang lebih konsisten dan berterusan kepada pekerja gig.
“Pendekatan ini bukan sahaja memperluas liputan keselamatan sosial, malah memastikan pekerja gig mendapat perlindungan sewajarnya tanpa menjejaskan fleksibiliti pekerjaan mereka,” menurut PERKESO.
Mengenai skim LINDUNG Kendiri, statistik PERKESO menunjukkan jumlah kemalangan dilaporkan meningkat daripada 4,021 kes pada 2023 kepada 4,839 kes pada 2024, dan seterusnya 5,496 kes pada 2025.
Dalam tempoh sama, jumlah penerima faedah turut meningkat daripada 6,294 orang pada 2023 kepada 6,725 orang pada tahun berikutnya, sebelum mencecah 7,893 orang pada 2025.
“Statistik ini memberikan isyarat bahawa sudah tiba masanya aspek perlindungan sosial terhadap golongan ini diberikan perhatian yang lebih serius dan menyeluruh, selari dengan perubahan landskap pekerjaan masa kini yang semakin dinamik dan fleksibel.
“Justeru, usaha memperkukuh perlindungan bukan sahaja penting untuk menjamin kebajikan pekerja gig ketika berdepan risiko, malah memastikan nasib waris mereka terus terbela sekiranya berlaku perkara tidak diingini,” menurut kenyataan itu.
Pelaksanaan Akta 872 meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik sebagai antara perintis di rantau ini yang memperkenalkan kerangka perundangan khusus bagi sektor gig secara komprehensif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








