BERITA SEMASAPOLITIK

‘Perjalanan pulang’ ke UMNO: KJ serah keputusan kepada pimpinan parti

PONTIAN – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan usahanya untuk kembali menyertai UMNO sebagai satu ‘perjalanan pulang’, sambil menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada kepimpinan tertinggi parti.

Menurut beliau, permohonan rasmi telah diserahkan sendiri kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam pertemuan pada 16 Mac lalu.

Katanya, fokus utamanya ketika ini hanyalah untuk diterima semula sebagai ahli biasa tanpa sebarang tuntutan atau keistimewaan.

“Tumpuan saya sekarang adalah untuk diterima sebagai ahli UMNO terlebih dahulu. Saya serahkan kepada parti untuk membuat keputusan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan di Benut, di sini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Mengulas lanjut, Khairy menegaskan permohonannya bukan bersandarkan sebarang kepentingan politik, sebaliknya sebagai usaha kembali ke parti yang pernah menjadi platform perjuangannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid memaklumkan permohonan tersebut akan dibawa ke Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk diteliti sebelum keputusan dibuat.

Terdahulu, pada 5 Mac lalu, beliau menyatakan UMNO membuka ruang kepada bekas ahli yang dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti tanpa syarat.

Untuk rekod, Khairy dipecat daripada UMNO pada Januari 2023, manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan antara pemimpin yang digantung keahlian.

Mengulas spekulasi kemungkinan bertanding di Johor termasuk di Johor Bahru atau Muar, Khairy menegaskan keutamaannya kini hanyalah untuk kembali sebagai ahli UMNO.

Beliau turut memaklumkan kehadirannya ke majlis tersebut merupakan jemputan pertama yang dihadirinya selepas mengumumkan hasrat kembali aktif dalam parti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button