BERITA SEMASAPOLITIK

Tiada kompromi dalam soal bendera Jalur Gemilang – Nurul Noh

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional, Nurul Syazwani Noh menegaskan soal Jalur Gemilang tidak boleh dijadikan bahan permainan politik kerana ia melibatkan maruah dan kedaulatan negara.

Beliau berkata, pemimpin muda tanpa mengira parti, perlu berani, tegas dan berprinsip dalam mempertahankan bendera negara daripada diperolok atau diperagakan secara tidak wajar.

“Dalam soal bendera, tiada kompromi. Itu bukan samseng jalanan, tetapi keberanian mempertahankan maruah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul mengulas kenyataan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang mendesak kepimpinan mereka memutuskan hubungan dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dengan alasan beliau berlagak samseng.

Menurut beliau, tuduhan itu tidak berasas kerana isu sebenar adalah penghinaan terhadap Jalur Gemilang yang jelas bertentangan dengan Rukun Negara, khususnya prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Dalam masa sama, beliau memuji kerjasama Armada BERSATU yang diketuai Hilman Idham bersama Pemuda UMNO yang dilihat semakin berani berdiri bersama mempertahankan tanah air.

“Ironinya, ada pihak yang cepat ‘panas’ bila anak muda bangkit mempertahankan negara.

“Mengapa perlu takut dengan kesatuan anak muda yang cintakan tanah air, kecuali jika ada agenda tersembunyi?” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang.

Beliau turut menyifatkan kenyataan DAPSY yang menuduh Ketua Pemuda UMNO sebagai tali barut Perikatan Nasional hanyalah retorik politik, apatah lagi DAP kini memegang kerusi terbanyak dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kalau betul berani, DAPSY patut mendesak kepimpinan mereka bercerai terus dengan UMNO. Jangan hanya bersilat lidah di media tetapi kecut bila tiba masanya bertindak,” katanya lagi.

Nurul menegaskan isu Jalur Gemilang tidak boleh dilihat dari sudut politik kepartian atau perkauman, sebaliknya ia adalah soal maruah negara yang mesti dipertahankan oleh semua pihak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button