LUAR NEGARA

Iran laksana hukuman mati terhadap lelaki didakwa ejen Mossad

TEHRAN – Kerajaan Iran telah melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang dituduh mengintip untuk agensi perisikan Israel, Mossad.

Menurut Al-Jazeera yang memetik laporan agensi berita separa rasmi Tasnim, hukuman itu telah dilaksanakan pagi tadi (waktu tempatan).

“Hukuman mati terhadap seorang perisik Israel, yang memberikan pegawai Mossad gambar serta maklumat mengenai kawasan sensitif di negara ini, telah dilaksanakan pagi ini selepas melalui proses perundangan dan diluluskan oleh Mahkamah Agung,” kata Tasnim.

Laporan itu turut menyebut, lelaki yang tidak dinamakan itu direkrut secara dalam talian oleh perisikan Israel ketika berada di Sweden selepas dia menyiarkan butirannya pada pautan iklan perjalanan berkumpulan.

Seorang pegawai Mossad yang fasih berbahasa Parsi dilaporkan membuat hubungan awal dengannya, tambah laporan itu.

Suspek berkenaan kemudiannya ditahan oleh Pengawal Revolusi Iran (IRGC) Jun lalu di bandar Savojbolagh, Iran, semasa perang 12 hari dengan Israel.

Ketika ditahan, dia memiliki peralatan “canggih untuk perisikan, pengintipan dan komunikasi satelit.”

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button