GAYA HIDUPRENCANA

UKKM: Memperkasa modal insan, masa depan gerakan koperasi

SEJAK lebih enam dekad lalu, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) memainkan peranan penting sebagai pusat pembangunan ilmu dan latihan bagi sektor koperasi negara.

Kini, IKMA melangkah ke satu fasa baharu apabila usaha menjadikannya sebuah institusi khusus dalam bidang koperasi dan keusahawanan mula direalisasikan melalui penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).

Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor berkata, idea menjadikan IKMa sebagai universiti sebenarnya bukan perkara baharu kerana ia pernah dirancang sejak awal penubuhannya.

KP IKMA
Mohd Ali memberitahu idea menjadikan IKMa sebuah universiti sudah dirancang sejak awal penubuhannya.

“Keputusan yang dibuat oleh wakil Menteri adalah untuk menjadikan IKMa itu sendiri sebagai sebuah universiti. Jika kita lihat sejarahnya, IKMa telah wujud sejak tahun 1956, hampir seiring dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Jika dibandingkan dengan universiti lain, banyak institusi pengajian tinggi ditubuhkan lebih lewat daripada IKMA seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Menurut beliau, usaha menjadikan IKMa sebagai universiti pernah dirancang sejak 1962, namun tidak dapat direalisasikan ketika itu.

Bagaimanapun, perkembangan semasa membuka ruang untuk idea tersebut dilaksanakan.

“Pada tahun 1962, sebenarnya sudah ada perancangan untuk menjadikannya sebuah universiti, namun usaha itu tidak dapat direalisasikan pada ketika itu.

“Kini kita mungkin agak terlewat, tetapi kita masih boleh melaksanakannya,” katanya.

Universiti berskala kecil tetapi berimpak besar

Mohd Ali menjelaskan, UKKM yang dibangunkan melalui IKMa tidak bertujuan menjadi institusi berskala besar seperti universiti awam lain, sebaliknya memberi fokus kepada pembangunan kepakaran dalam bidang koperasi.

“Tujuan kita bukan untuk membangunkan sebuah universiti berskala besar dengan projek bernilai berbilion ringgit.

“Kita tidak bercadang melaksanakan projek sehingga RM3 bilion atau RM200 juta hingga RM300 juta. Skala kita lebih kecil, kebanyakannya di bawah RM5 juta.

Logo UKKM
Logo UKKM

“Program-program yang ditawarkan UKKM pula bertujuan melengkapkan ekosistem sektor koperasi di Malaysia pada hari ini.

“Gabungan antara universiti dan sektor koperasi ini sebenarnya sangat penting dan memberi impak besar,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa IKMa tidak boleh dijadikan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) kerana ia akan melibatkan perubahan kementerian serta struktur pentadbiran.

“Apabila cadangan itu dibangkitkan, kami tidak bersetuju kerana kita sudah mempunyai kumpulan dan ekosistem sendiri,” jelasnya

Cabaran menubuhkan universiti tanpa bajet

Walaupun idea tersebut kelihatan ideal, Mohd Ali mengakui pelaksanaannya bukan sesuatu yang mudah.

Menurut beliau, antara cabaran utama ialah ketiadaan bajet khusus untuk menubuhkan universiti tersebut.

“Kedua, kita tidak mempunyai bajet khusus. Bayangkan untuk membuka sebuah universiti tanpa bajet.

“Jadi kita terpaksa menggunakan segala kepakaran dan rangkaian yang ada,” katanya.

Tambah beliau, usaha tersebut turut melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk ahli akademik dan pakar pendidikan bagi menyediakan kertas cadangan kepada kerajaan.

IKMA
Sebahagian pelajar UKKM yang menyertai program lawatan mega koperasi anjuran universiti tersebut.

“Kita kumpulkan para pensyarah, rakan-rakan akademik dan pihak berkepakaran untuk membantu menyediakan kertas cadangan kepada kerajaan.

“Kita menggunakan saluran tertentu bagi memastikan lesen dapat diperoleh dan universiti ini dapat beroperasi,” katanya.

Pada peringkat awal juga, banyak perkara dilakukan secara sukarela termasuk oleh ahli lembaga pengarah dan pentadbiran universiti sementara.

“Tiada elaun untuk ahli lembaga pengarah, tiada elaun untuk Naib Canselor sementara, malah banyak perkara dilakukan secara sukarela,” katanya.

Persepsi sebagai cabaran terbesar

Selain isu kewangan dan pentadbiran, Mohd Ali berkata, cabaran paling besar sebenarnya datang daripada persepsi masyarakat terhadap kemampuan universiti tersebut untuk berjaya.

“Sebenarnya saya tidak begitu bimbang tentang syarat daripada pihak berkuasa pendidikan. Apa yang lebih membimbangkan ialah aspek psikologi dan persepsi.

IKMA
Ahli kademik yang dilantik sebagai pengiktirafan atas kepakaran, pengalaman luas dan sumbangan berterusan mereka dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan koperasi di Malaysia.

“Ada pihak yang merasakan universiti ini tidak akan berjaya atau tidak mempunyai masa depan. Persepsi seperti inilah yang menjadi cabaran terbesar,” katanya.

Namun dengan sokongan rakan akademik dan tokoh pendidikan, usaha tersebut akhirnya berjaya direalisasikan dan diluluskan oleh pihak kementerian.

Kepentingan pembelajaran berterusan

Dalam masa yang sama, Mohd Ali menegaskan bahawa pembangunan sektor koperasi memerlukan budaya pembelajaran berterusan dalam kalangan penggeraknya.

Beliau sendiri masih menyambung pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah sebagai tanda komitmen terhadap pendidikan.

“Dalam sektor pendidikan, kita sendiri perlu terus belajar. Saya sendiri masih menyambung pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah kerana kita tidak boleh berhenti menimba ilmu.

“Jika kita berhenti belajar, pemikiran kita juga akan menjadi terhad,” katanya.

Beliau sebelum ini pernah terlibat dalam pentadbiran institusi pendidikan besar seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), pengalaman yang menurutnya membantu memahami pengurusan universiti dengan lebih baik.

Melahirkan pemimpin koperasi masa depan

Melalui penubuhan UKKM, Mohd Ali berharap institusi tersebut mampu menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang koperasi dan keusahawanan.

“Sasaran kita ialah sekurang-kurangnya berada dalam kelompok 10 terbaik di rantau ini dan mungkin tiga terbaik di dunia dalam bidang koperasi,” katanya.

IKMA
UKKM menjadi platform melahirkan pemimpin koperasi masa depan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Beliau turut melihat universiti tersebut sebagai platform melahirkan pemimpin koperasi masa depan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Kita juga mahu melahirkan pelajar tempatan dan antarabangsa yang mampu menjadi pemimpin dalam sektor koperasi,” katanya.

Memperkasa koperasi di peringkat akar umbi

Lebih penting, Mohd Ali menegaskan bahawa manfaat universiti tersebut bukan hanya kepada koperasi besar tetapi turut memberi kesan kepada koperasi kecil di kawasan luar bandar.

“Universiti ini juga bukan hanya untuk koperasi besar. Koperasi kecil di kampung juga boleh mendapat manfaat.

“Anak-anak kampung boleh datang belajar di sini, kemudian kembali ke kampung untuk menguruskan koperasi mereka dengan lebih profesional,” katanya.

IKMA
Pelbagai program dianjurkan dalam usaha memperkukuh gerakan koperasi di Malaysia.

Beliau percaya langkah itu mampu memperkukuh gerakan koperasi di peringkat akar umbi serta meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi negara.

“Akhir sekali, harapan saya ialah supaya semua warga universiti mempunyai sikap positif. Jika warga universiti sendiri tidak yakin dengan institusi ini, maka sukar untuk kita berjaya.

“Tetapi jika semua pihak mempunyai semangat yang sama, universiti ini mampu berkembang menjadi institusi yang hebat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button