ICC 2025: Generasi muda pelapis masa depan koperasi global
PERSIDANGAN Koperasi Antarabangsa (ICC 2025) yang berlangsung selama tiga hari di Hotel Tenera, Bangi menutup tirainya dengan menegaskan peranan belia sebagai pelapis utama dalam memperkukuh gerakan koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Disertai lebih 150 peserta termasuk wakil tujuh negara antarabangsa antaranya Brunei, Indonesia, Thailand dan India, ICC 2025 anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) menjadi medan perkongsian idea, teknologi serta hala tuju baharu untuk memastikan koperasi kekal relevan di era globalisasi dan digitalisasi.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) IKMa, Mohd Zaib Mat Yunus berkata, penglibatan generasi muda perlu diperkasa kerana mereka adalah aset masa depan yang mampu memberi nafas baharu kepada sistem koperasi.
“ICC 2025 ini berjaya menarik minat golongan muda bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga peserta luar negara. Mereka adalah pelapis dalam pengurusan dan hala tuju koperasi.
“Kesedaran tentang kolaborasi semakin meningkat, bukan sekadar dalam negara tetapi juga di luar negara.
“Apa yang dipelajari di peringkat global dari segi pengetahuan, kemahiran dan teknologi boleh dibawa masuk untuk memperkasa koperasi kita,” katanya kepada Malaysia Tribune, hari ini.

Menurut beliau, inisiatif seperti Graduan ke Koperasi (G2K) bersama universiti tempatan membolehkan mahasiswa menjadikan koperasi sebagai kerjaya.
Malah, ujarnya, IKMa turut bekerjasama dengan International Cooperative Alliance (ICA) bagi memperkukuh pengaruh belia dalam pergerakan koperasi global.
“Penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) akan menjadi pemacu baharu produktiviti dan kecekapan. Tidak mustahil sebahagian tugasan koperasi pada masa depan boleh dioptimumkan dengan AI,” jelasnya.
Mengulas harapan untuk ICC akan datang, Mohd Zaib menekankan komitmen pihaknya menyediakan platform pendidikan formal.
Tambahnya, Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) kini menawarkan sembilan program akademik daripada diploma hingga peringkat doktor falsafah (PhD) selain latihan praktikal bersama 100 koperasi terbaik negara.

“Setiap tahun lebih 10 program latihan dan pendidikan ditawarkan untuk pelajar serta belia.
“Harapan kami, mereka bukan sahaja menyertai koperasi sedia ada, malah berani menubuhkan koperasi baharu,” katanya sambil melahirkan keyakinan penyertaan golongan profesional muda akan menjadikan koperasi lebih berdaya saing dan mampan.
Perspektif peserta tempatan
Bagi Daniel Rajasena John Britto, Pembantu Arkitek di Koperasi Pesara-Pesara Malaysia Berhad, ICC 2025 memberi nilai tambah besar dalam usaha mereka membangunkan township untuk pesara di setiap negeri.

“Projek ini sudah 15 tahun dalam perancangan dan akan mula dibina tahun depan.
“Kami membentangkan idea menjana pendapatan tambahan melalui carbon credit trading yang berpotensi menghasilkan RM1 bilion setahun.
“Dari sini saya belajar bagaimana Sustainable Development Goals (SDG) boleh diadaptasi lebih mendalam dalam projek kami,” katanya.
Beliau turut menekankan cabaran melibatkan golongan belia kerana majoriti ahli koperasi ketika ini berusia lanjut.
“Kalau tidak ada penyertaan belia, dalam 30 tahun lagi koperasi ini mungkin hilang ahlinya.
“Daripada konferensi ini saya dapat banyak idea, termasuk strategi pemasaran media sosial untuk menarik minat generasi muda,” tambahnya.
Suara peserta antarabangsa
Peserta antarabangsa, Helena Gorrono dari negara Basque, Sepanyol yang juga Naib Presiden Young European Cooperators Network, melihat model koperasi sebagai satu bentuk penyelesaian revolusioner untuk generasi baharu.

“Penting untuk kita cipta ruang di mana anak muda merasakan diri mereka protagonis, bukan hanya pelengkap dalam pergerakan.
“Koperasi mampu membantu menyelesaikan isu besar generasi muda seperti akses kepada tempat tinggal, pekerjaan yang bermaruah dan penggunaan yang bertanggungjawab,” katanya.
Keberkesanan penganjuran
Dalam pada itu, peserta juga sepakat memuji penganjuran ICC 2025 oleh IKMa yang dianggap berjalan lancar, tersusun dan tidak membebankan.
“Jadual dan aktiviti teratur, malah sesi networking sangat berbaloi kerana membuka peluang kerjasama dengan pelbagai pihak. Saya pasti akan sertai lagi jika dianjurkan pada masa depan,” kata Daniel.
Sementara itu, Pegawai ASEAN Co-Operative Organization (ACO) Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Rosfitrisha Mohd Rozali melahirkan rasa teruja dapat menyertai program tersebut.

“Melalui acara ini, kita dapat menambah rangkaian kenalan dan berkongsi pandangan kerana banyak organisasi berkaitan koperasi menyertainya.
“Diharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan delegasi luar negara yang lebih ramai,” katanya.
Penutup
Apa yang pasti, ICC 2025 menutup tirai dengan mesej jelas bahawa masa depan koperasi bergantung pada keterlibatan generasi muda, keupayaan berinovasi dan kesediaan memanfaatkan teknologi baharu.

Dengan kerjasama pelbagai pihak, koperasi diyakini akan kekal sebagai model ekonomi inklusif dan mampan dalam menghadapi cabaran global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






