IKMa perkasa gerakan koperasi melalui pembangunan modal insan
GERAKAN koperasi di Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif apabila sektor tersebut bukan sahaja menjadi wadah pembangunan ekonomi masyarakat, malah berperanan sebagai platform memperkasa keusahawanan dan kesejahteraan sosial.
Di sebalik perkembangan itu, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) kekal memainkan peranan penting sebagai institusi yang memacu pembangunan modal insan dalam sektor koperasi negara.
Menurut statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sehingga 31 Disember 2023 terdapat sebanyak 15,809 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan keanggotaan mencecah 7.2 juta orang.

Lebih membanggakan, sektor koperasi mencatatkan perolehan sebanyak RM64.56 bilion, sekali gus membuktikan potensi besar gerakan tersebut dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Dengan sejarah penubuhan sejak 1956, IKMa telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memastikan gerakan koperasi terus berkembang secara profesional, berdaya saing dan cekap.
Timbalan Pengarah (Pembangunan Modal Insan) IKMa, Mohd Zaib Mat Yunus berkata, perkembangan IKMa sepanjang beberapa dekad lalu amat ketara apabila program latihan yang ditawarkan meningkat secara signifikan.
“Sejak penubuhannya, IKMa telah berkembang pesat daripada hanya enam program latihan kepada lebih 500 program setiap tahun,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Melatih pemimpin koperasi
Menurut Mohd Zaib, fokus utama IKMa adalah untuk melatih dan membimbing anggota lembaga, pihak pengurusan serta ahli koperasi supaya lebih berpengetahuan dalam aspek pentadbiran dan perniagaan.

Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Program Pembangunan Kepimpinan Koperasi (PIMPIN) yang merangkumi tiga kursus wajib iaitu Pengurusan Pentadbiran Koperasi, Pengurusan Kewangan dan Strategi Koperasi.
“Anggota lembaga koperasi adalah peneraju utama dalam gerakan ini. Sehingga November 2024, kami telah melatih lebih 31,000 individu melalui 560 program, dengan sasaran mencapai 600 program menjelang hujung tahun,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan jumlah penyertaan menunjukkan bahawa kesedaran terhadap kepentingan latihan dan pembangunan kepimpinan dalam kalangan penggerak koperasi semakin meningkat.
Pada tahun 2023 sahaja, hampir 13,000 anggota lembaga koperasi mengikuti program PIMPIN dan angka itu dijangka terus meningkat pada masa hadapan.
Memperkasa ilmu perniagaan
Selain memberi tumpuan kepada aspek pentadbiran, IKMa turut menyediakan pelbagai program latihan berkaitan pengurusan perniagaan melalui Pusat Pengurusan Perniagaan, Pusat Pentadbiran Koperasi dan Pusat Perakaunan Koperasi.

Secara keseluruhannya, lebih 200 program ditawarkan bagi membantu anggota lembaga koperasi memahami asas perniagaan serta memastikan kesinambungan pengurusan organisasi tersebut.
“Setiap tahun, satu pertiga daripada anggota lembaga koperasi akan bertukar.
“Oleh itu, latihan berterusan amat penting untuk memastikan kesinambungan pengurusan dan pentadbiran koperasi,” jelas Mohd Zaib.
Bagi tahun 2026, IKMa menyasarkan pelaksanaan sebanyak 650 program termasuk 200 program bimbingan koperasi yang memberi fokus kepada aspek digitalisasi, pengurusan akaun serta pembangunan koperasi baharu.
Selain itu, usaha juga dilakukan untuk memulihkan koperasi tidak aktif dengan membantu mereka menyelesaikan isu pentadbiran seperti mesyuarat agung, aktiviti perniagaan dan penyediaan akaun.
Mengadaptasi teknologi digital
Seiring dengan perkembangan teknologi, IKMa turut memberi perhatian terhadap usaha memperkasa koperasi melalui penggunaan sistem digital.
Bagi tujuan itu, IKMa menubuhkan Unit Transformasi Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi melatih koperasi mengadaptasi teknologi dalam operasi harian mereka.

“Kami telah menubuhkan Unit Transformasi Digital dan AI untuk melatih koperasi agar lebih cekap melalui sistem digital.
“Melalui unit ini, ia diharap dapat meningkatkan pendapatan koperasi antara 10 hingga 30 peratus dalam tempoh satu hingga tiga tahun,” katanya.
Langkah tersebut dilihat selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh ekonomi digital dalam pelbagai sektor termasuk koperasi.
Universiti koperasi pertama di rantau ini
Satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasa sektor koperasi ialah penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) pada tahun 2023.
Menurut Mohd Zaib, universiti tersebut menawarkan program pengajian daripada peringkat diploma hingga doktor falsafah dalam bidang berkaitan koperasi dan keusahawanan.

“Universiti ini menawarkan program Diploma hingga Doktor Falsafah, menjadikannya satu-satunya institusi di Asia Tenggara yang menyediakan pendidikan khusus dalam bidang koperasi,” katanya.
Penubuhan universiti itu dijangka melahirkan tenaga profesional yang mampu mengurus dan membangunkan koperasi secara lebih sistematik dan berdaya saing.
Cabaran memperluas latihan
Walaupun pelbagai usaha dilakukan, IKMa masih berdepan cabaran besar dalam memenuhi permintaan latihan yang semakin meningkat.
Dengan lebih 16,000 koperasi di seluruh negara dan jutaan ahli, keperluan terhadap latihan dan bimbingan semakin tinggi.

Namun, jumlah tenaga pengajar yang terhad menjadi antara kekangan utama.
“Kami hanya mempunyai 86 pegawai latihan di seluruh negara, tetapi kami akan tetap berusaha mengatasi cabaran ini dengan kerjasama rakan strategik dan penggunaan teknologi terkini,” katanya.
Membangun masa depan koperasi
Dalam usaha memperkukuh gerakan koperasi pada masa depan, IKMa merancang untuk memperluaskan program bimbingan bersasar termasuk dalam sektor pertanian, hartanah, pelancongan dan peruncitan.
Selain itu, penglibatan belia juga akan diperkasa melalui pelbagai program komuniti bagi memastikan kesinambungan gerakan koperasi dalam jangka panjang.

Apa yang jelas, peranan IKMa dalam membangunkan sektor koperasi negara tidak boleh dipandang ringan.
Dengan strategi pembangunan modal insan yang berterusan serta komitmen tinggi dalam memperkasa ilmu dan kemahiran anggota koperasi, IKMa terus menjadi peneraju dalam melahirkan generasi pemimpin koperasi yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Dalam konteks pembangunan ekonomi dan sosial negara, gerakan koperasi yang diperkasa melalui latihan, inovasi dan pendidikan diyakini mampu menjadi salah satu pemangkin penting kepada kemajuan Malaysia pada masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















