BERITA SEMASADALAM NEGERI

ICC 2025 perkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab koperasi serantau

BANGI – Persidangan Koperasi Antarabangsa (ICC) 2025 yang berlangsung di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, di sini hari ini mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab koperasi serantau selain menekankan peranan belia sebagai tunjang masa depan sektor koperasi.

Ahli Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Willie Anak Mongin berkata, persidangan selama tiga hari itu menghimpunkan lebih 200 peserta dari Malaysia dan tujuh negara lain seperti Thailand, Filipina, Brunei, Indonesia, India dan Jepun termasuk wakil korporat serta pembuat dasar antarabangsa.

ICC 2025
Willie bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan persidangan tersebut.

“Dengan platform ini, kita dapat mempamerkan kejayaan koperasi belia dan meletakkan Malaysia sebagai pusat rujukan koperasi di rantau ASEAN,” katanya pada sidang media selepas merasmikan ICC 2025.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo menekankan bahawa penglibatan belia adalah kunci transformasi koperasi.

“Setakat ini, hanya sekitar 100,000 belia terlibat secara aktif dalam sektor ini. Jika tidak diberikan sokongan, perkembangan koperasi berisiko perlahan.

“Koperasi bukan sahaja berperanan dalam perniagaan tetapi juga sebagai platform untuk belia terlibat dan memperoleh pendedahan praktikal dalam pengurusan dan keusahawanan,” ujarnya.

ICC 2025
Sesi bergambar selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara koperasi Malaysia dengan rakan dari Thailand dan Jepun yang bertujuan memperkukuh penerapan teknologi, pembangunan modal insan dan kerjasama serantau.

Beliau turut berkongsi contoh kejayaan koperasi belia di sekolah yang bermula pada 1968 hasil cetus idea Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.

“Ia bermula hanya dengan sembilan koperasi dan kini berkembang kepada 2,608 buah membolehkan generasi muda mendapat pengalaman langsung dalam sektor perniagaan,” tegasnya.

Pada majlis itu, Willie turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara koperasi Malaysia dengan rakan dari Thailand dan Jepun yang bertujuan memperkukuh penerapan teknologi, pembangunan modal insan dan kerjasama serantau.

ICC 2025
Willie melawat booth yang mengambil bahagian dalam persidangan tersebut sejurus selesai majlis perasmian.

Malah, beliau menyeru golongan belia Malaysia untuk memanfaatkan platform koperasi sebagai asas pembangunan perniagaan mereka.

“Kejayaan koperasi bergantung kepada penglibatan aktif belia. Dengan peluang yang disediakan melalui IKMa dan program kerajaan, kita yakin generasi muda mampu memacu transformasi koperasi menjelang 2030,” katanya.

ICC 2025 juga menyediakan ruang untuk perkongsian pengalaman, inovasi dan pengembangan kerjasama antara koperasi di peringkat antarabangsa, sekali gus menegaskan Malaysia sebagai hab koperasi yang dihormati di ASEAN.

Turut hadir Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button