70 tahun IKMa: Masa untuk koperasi lonjak angka kepada prestasi berimpak ekonomi
PETALING JAYA – Menjelang ulang tahun ke-70 penubuhannya tahun ini, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) memikul harapan yang tinggi untuk melonjakkan sektor koperasi sebagai pemacu ekonomi rakyat yang lebih signifikan dan bukannya sekadar penyumbang kecil kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor berkata, sambutan tujuh dekad penubuhan institusi itu hadir bersama amanah besar untuk memastikan latihan, pendidikan dan pembangunan koperasi benar-benar memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Sebenarnya tahun ini tahun penting untuk IKMa sebab ini tahun ke-70 penubuhannya.
“Jadi sudah tentu kerajaan dan masyarakat meletakkan harapan yang tinggi terhadap IKMa dan sektor koperasi termasuk program yang lebih baik selari dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 serta semua keperluan tertentu pendigitalan,” katanya kepada Malaysia Tribune selepas sesi podcast mengenai Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) di Perpustakaan Tan Sri Noh Omar, IKMa di sini, semalam.
Program podcast itu dikendalikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UKKM, Prof Dr Mohd Haizam Mohd Saudi selaku moderator.
Menurut Mohd Ali, jumlah peserta program latihan IKMa menunjukkan peningkatan ketara apabila melonjak kepada kira-kira 40,000 peserta setahun berbanding sekitar 20,000 hingga 30,000 sebelum ini, namun persoalan utama ialah keberkesanan latihan tersebut terhadap sumbangan koperasi kepada KDNK.
“Kalau latihan ini masih tidak memberi kesan dan sumbangan koperasi kekal sekitar dua atau tiga peratus kepada KDNK negara, maka kita perlu melihat semula sama ada latihan itu benar-benar berkesan atau sebaliknya,” jelasnya.

Beliau berkata, meskipun sektor koperasi mencatat pencapaian memberangsangkan dengan perolehan mencecah RM68 bilion, melepasi sasaran awal RM65 bilion, usaha berterusan diperlukan agar sumbangannya dapat ditingkatkan dan diiktiraf setara dengan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa sokongan kewangan sedia ada masih belum mencukupi untuk menampung keperluan lebih 16,000 koperasi dengan keanggotaan seramai 7.3 juta orang.
“Kalau ada suntikan RM100 juta setahun pun sebenarnya tidak cukup untuk memenuhi keperluan semua koperasi ini.
“Sedangkan jumlah ahli koperasi mencecah 7.3 juta, satu angka yang sangat besar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar koperasi dimanfaatkan sebagai platform utama pelaksanaan dasar kerajaan termasuk program kebajikan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Kalau kerajaan ingin menyalurkan apa-apa bentuk bantuan atau CSR, koperasi sebenarnya adalah platform terbaik. Apa-apa dasar kerajaan sepatutnya boleh menggunakan platform koperasi,” katanya.
Mengulas potensi koperasi masjid, Mohd Ali berkata, ia mampu menjadi pemangkin ekonomi setempat berasaskan nilai integriti dan tanggungjawab sosial.
“Koperasi masjid ini ada aset, paling tidak masjid itu sendiri, ada tanah, ada ahli dan komuniti.
“Dari situ kita boleh wujudkan peluang ekonomi yang baik dan lebih penting, melahirkan pengurusan yang berintegriti,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa integriti dalam pengurusan koperasi memerlukan masa untuk dibudayakan, seiring pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Integriti ini bukan sesuatu yang datang serta-merta. Macam kebersihan, dulu perlu denda, lama-lama ia jadi tabiat. Bila ekonomi rakyat lebih stabil, budaya integriti itu akan lebih mudah berkembang,” katanya.
Dalam aspek pembangunan modal insan, Mohd Ali menegaskan, IKMa telah melengkapkan laluan pendidikan formal koperasi daripada peringkat diploma hingga Doktor Falsafah (PhD) Pentadbiran Perniagaan selain sedang membangunkan latihan profesional.
“Kita akan perkenalkan Chartered in Cooperative Management dan Chartered in Cooperative Auditors.
“Ini akan membuka laluan kepada penubuhan sebuah institut koperasi profesional,” katanya.

Beliau berkata, usaha tersebut selari dengan kajian PhD beliau dalam bidang Pengurusan Koperasi serta persediaan menghadapi pelaksanaan Akta Koperasi baharu yang dijangka berkuat kuasa pada 2026.
“Apabila akta baharu diwujudkan, IKMa juga mesti bersedia dan tadbir urus koperasi perlu diperkukuh supaya boleh dicontohi oleh koperasi lain,” katanya.
IKMa merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan telah menubuhkan UKKM yang menawarkan program akademik daripada peringkat diploma hingga PhD sejak Mac 2023.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








