BERITA SEMASADALAM NEGERI

ICC 2025: Belia pemacu masa depan gerakan koperasi

BANGI – Koperasi belia Malaysia mencatat pertumbuhan menggalakkan dengan pendaftaran hampir 88,000 ahli dalam 207 koperasi sekaligus menunjukkan penglibatan generasi muda yang semakin meningkat dalam sektor itu.

Perkembangan positif itu menjadi tumpuan utama pada Persidangan Koperasi Antarabangsa (ICC) 2025 yang  berlangsung di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, bermula hari ini.

Persidangan selama tiga hari anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin koperasi, ahli akademik serta wakil belia dari ASEAN dan antarabangsa dengan tema ‘Youth for Cooperative Future’.

Antara negara yang terlibat ialah Thailand, Filipina, Brunei, Indonesia, India dan Jepun.

ICC 2025
Mohd Ali berucap pada perasmian Persidangan Koperasi Antarabangsa (ICC 2025) di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi. – Foto Hafiz Aiman Shariff/Malaysia Tribune

Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor menegaskan, kelestarian jangka panjang sektor koperasi sangat bergantung pada penglibatan strategik belia.

“Koperasi yang memberi peluang kepimpinan kepada anak muda lebih berdaya untuk berinovasi, menyesuaikan diri dengan perubahan semasa dan menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim serta transformasi digital,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Katanya, hasil koperasi belia telah meningkat lebih empat kali ganda dalam tempoh lima tahun, iaitu daripada AS$3.5 juta (RM14.75 juta) pada 2019 kepada AS$14.3 juta (RM60.3 juta) pada 2024.

“Walaupun sumbangan koperasi belia masih kecil berbanding jumlah hasil sektor koperasi bernilai AS$16.3 bilion (RM68.7 bilion), trend peningkatan ini jelas menunjukkan penglibatan belia kini bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik,” katanya.

Tambah beliau, IKMa kini menumpukan perhatian kepada tiga nilai utama iaitu pemerkasaan belia dan inovasi sosial, keusahawanan serta daya saing ekonomi dan pertukaran ilmu serta penerapan teknologi.

ICC 2025
Willie beramah mesra dengan peserta yang membuka booth sempena persidangan tersebut.

“Antara program yang dilaksanakan ialah Graduate to Cooperative (G2K) dan Co-operative Digitalisation Empowerment (CODE) untuk melengkapkan belia dengan ilmu serta kemahiran yang diperlukan.

“Tentunya benih yang kita semai hari ini akan berkembang menjadi koperasi yang memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah IKMa, Datuk Willie Anak Mongin yang merasmikan persidangan turut menekankan kepentingan kreativiti dan kepimpinan belia bagi mengurangkan jurang kepimpinan dalam gerakan koperasi.

“Kurang daripada 100,000 belia Malaysia aktif dalam koperasi. Tema kita kali ini bukan sekadar slogan, ia adalah seruan tindakan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo.

Beliau mengulangi komitmen kerajaan memperkukuh penglibatan belia misalnya melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030; Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13); Protégé; Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dan Youth Co:Lab untuk membekalkan belia dengan kemahiran, pembiayaan dan platform membina perusahaan mampan.

“Gerakan koperasi mungkin tidak selalu mendominasi carta ekonomi, tetapi ia adalah wahana penting untuk pertumbuhan inklusif, keadilan sosial dan pembangunan mampan.

“Kami mengajak belia memimpin gerakan ini; berinovasi, mentransformasi dan membentuk masa depan yang lebih berdaya tahan serta adil,” ujarnya.

ICC 2025
Sebahagian delegasi luar dan peserta dari Malaysia yang terlibat dalam persidangan kali ini.

Selain itu, persidangan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara koperasi Malaysia dengan rakan kongsi dari Thailand dan Jepun bagi memperkukuh penerapan teknologi, pembangunan modal insan dan kerjasama serantau.

IKMa merupakan satu-satunya pusat latihan koperasi negara yang ditubuhkan pada tahun 1956.

Institusi itu berperanan memajukan sektor koperasi melalui latihan, pendidikan dan konsultasi serta komited memacu inovasi dan kecemerlangan gerakan koperasi Malaysia melalui pembangunan modal insan.

Kini, IKMa berada di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button