Ibu bapa perlu peka cecair vape boleh dicampur dadah sintetik
KUALA LUMPUR – Ibu bapa disaran meningkatkan pengetahuan mengenai dadah sintetik termasuk kemungkinan cecair rokok elektronik atau vape dicampur bahan terlarang bagi mengelakkan anak-anak terjerumus dengan gejala penyalahgunaan dadah.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datik Ruslin Jusoh berkata, masih ramai dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa tidak mengenali jenis serta rupa bentuk dadah sintetik yang kini semakin berleluasa.
Menurutnya, perkara itu dikesan ketika pihaknya menjalankan sesi walkabout sempena Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) di kawasan Bazar Aidilfitri berhampiran pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini semalam.
“Ketika sesi walkabout di kawasan bazar berkenaan, kita dapati masih ramai ibu bapa yang tidak mengenali rupa bentuk dadah seperti syabu atau bahan terlarang lain.
“Malah, ada juga yang tidak mengetahui bahawa cecair rokok elektronik atau vape boleh dicampur dengan dadah sintetik yang berisiko menyebabkan ketagihan,” memetik BH online.
Beliau berkata, penggunaan dadah sintetik boleh memberi kesan serius kepada pengguna termasuk menyebabkan halusinasi sehingga tidak lagi mengenali ahli keluarga atau individu di sekeliling.
Dalam pada itu, AADK turut melaksanakan program susulan bagi memastikan bekas penagih kekal bebas daripada dadah menerusi inisiatif Aftercare, Follow-up and Peer (AFP) Treatment Support.
Menurutnya, pelbagai pihak turut digerakkan termasuk Skuad Antidadah yang dianggotai sukarelawan belia seawal usia 18 tahun, Jawatankuasa Pemulihan Dadah peringkat daerah serta rakan strategik komuniti bagi memperluaskan usaha pencegahan dadah di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







