BISNES & EKONOMI

Agrobank lancar video raya ‘Maaf Saya…’, angkat mesej empati terhadap autisme

KUALA LUMPUR – Agrobank melancarkan video raya korporat bertajuk “Maaf Saya…” yang membawa mesej empati, penerimaan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap autisme dan kepelbagaian neuro (neurodiversity).

Video raya itu mengetengahkan kisah sebuah keluarga yang berdepan cabaran membesarkan anak autisme, sekali gus mengajak masyarakat memahami bahawa setiap individu mempunyai keunikan tersendiri yang wajar dihargai.

Foong Hin turut merasmikan Kempen Jalinan Nurani oleh Agrobank sempena pelancaran video tersebut.

Pelancaran video berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin dalam satu majlis semalam.

Karya tersebut turut menampilkan pelakon terkenal tanah air, Que Haidar yang membawa watak seorang bapa melalui perjalanan emosi dalam memahami dan menerima keunikan anaknya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, video raya tahun ini bukan sekadar karya sempena Aidilfitri, sebaliknya membawa mesej sosial yang lebih mendalam kepada masyarakat.

Menurutnya, golongan neurodiversiti mempunyai tempat istimewa dalam inisiatif tanggungjawab sosial Agrobank.

“Sebelum penghasilan video raya ini, Agrobank turut mengetengahkan karya seni daripada golongan neurodiversiti melalui penghasilan barangan korporat syarikat sebagai sebahagian usaha menyokong dan meraikan kepelbagaian bakat dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif tersebut juga selari dengan komitmen Agrobank untuk membina masyarakat yang lebih inklusif serta prihatin terhadap golongan yang memerlukan perhatian khusus.

Sempena pelancaran video itu, Agrobank turut memperkenalkan kempen khas dengan menawarkan pembukaan akaun tanpa deposit kepada 300 kanak-kanak autisme terawal di seluruh negara.

Antara pelakon utama yang terlibat dalam video ‘Maaf Saya…”

Selain itu, kanak-kanak terlibat juga akan menerima pelan perlindungan kemalangan diri Agro Nurani secara percuma dengan perlindungan sehingga RM11,500.

Inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan keterangkuman kewangan serta memberi peluang kepada kanak-kanak autisme dan keluarga mereka memulakan perjalanan kewangan yang lebih terancang bersama Agrobank.

Video raya “Maaf Saya…” boleh ditonton orang ramai melalui platform media sosial rasmi Agrobank.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button