Belia diseru amalkan gaya hidup sederhana hadapi ketidaktentuan ekonomi global
PUTRAJAYA – Golongan belia diseru supaya mengamalkan gaya hidup sederhana serta berbelanja secara berhemah susulan ketidaktentuan ekonomi global yang berpotensi memberi kesan kepada kestabilan ekonomi negara.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, golongan belia perlu memainkan peranan sebagai generasi yang lebih cakna terhadap situasi semasa serta memahami kesan perkembangan global terhadap kehidupan rakyat.
“Belia digalakkan mengamalkan gaya hidup sederhana, berdisiplin dalam pengurusan kewangan serta membuat perancangan masa depan yang lebih bijak selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Taufiq berkata, belia juga perlu peka terhadap perkembangan geopolitik dunia yang boleh memberi impak kepada kos sara hidup, peluang pekerjaan serta ekonomi negara.
Menurutnya pihaknya mengambil maklum peringatan Perdana Menteri supaya rakyat Malaysia bersiap siaga dan mengamalkan sikap berjimat cermat berikutan konflik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS)-Israel yang masih berlarutan.
Dalam pada itu, kerajaan turut mengambil langkah proaktif bagi mengurus perbelanjaan negara secara berhemah, antaranya dengan tidak mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri di peringkat kementerian dan jabatan serta mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara.
Taufiq turut berkata, keadaan ekonomi global yang tidak menentu ketika ini memerlukan semua pihak, termasuk belia, untuk lebih berdisiplin dan bersedia menghadapi cabaran semasa.
“KBS yakin dengan kesedaran, disiplin dan semangat tanggungjawab, generasi muda mampu menjadi tonggak penting dalam membina masyarakat yang lebih berdaya tahan selaras dengan nilai dan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








