Iran tidak akan menyerah kalah – Presiden
TEHRAN – Iran tidak akan sekali-kali menyerah kalah walaupun berdepan serangan ketenteraan berterusan oleh Israel.
Presiden Masoud Pezeshkian berkata, rakyat Iran tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan atau tuntutan penyerahan tanpa syarat.
“Musuh Iran harus membawa bersama keinginan mereka terhadap penyerahan tanpa syarat rakyat Iran ke kubur mereka,” katanya ketika Israel melancarkan serangan terbaharu yang melibatkan kira-kira 80 jet pejuang semalam sehingga menyebabkan kebakaran di salah satu lapangan terbang utama di ibu negara itu.
Gelombang serangan awal pagi itu antara yang terbesar sejak kempen pengeboman bermula Sabtu minggu lalu dengan sasaran termasuk akademi ketenteraan, pusat arahan bawah tanah serta kemudahan penyimpanan peluru berpandu.
Rakaman gambar menunjukkan api dan asap tebal berkepul dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mehrabad di Tehran, salah satu daripada dua lapangan terbang utama di bandar berkenaan.
Serangan balas Iran pada Sabtu lalu turut mencetuskan amaran serangan udara dan letupan di udara di atas Baitulmaqdis serta beberapa bandar di Teluk termasuk Dubai dan Manama.
Dalam perkembangan sama, Arab Saudi dilaporkan memintas peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah pangkalan udara menempatkan tentera Amerika Syarikat berhampiran Riyadh.
Susulan ketegangan itu, operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai turut digantung sementara selepas pemintasan udara berlaku di kawasan tersebut.
Konflik yang kini memasuki minggu kedua itu tercetus selepas serangan udara bersama Israel dan AS yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei serta memusnahkan beberapa infrastruktur ketenteraan dan keselamatan negara itu.
Sejak itu, konflik dilaporkan merebak ke beberapa wilayah termasuk Lubnan, Turkiye dan Azerbaijan malah sehingga ke perairan berhampiran Sri Lanka.
Di Iran, kerosakan terhadap infrastruktur dan kawasan kediaman semakin meningkat dengan Kementerian Kesihatan negara itu melaporkan sekurang-kurangnya 926 orang awam terbunuh manakala kira-kira 6,000 lagi cedera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








