BERITA SEMASAPMX

Anwar mahu FELDA tidak lagi terpinggir dalam pembangunan negara

KUALA LUMPUR – Kawasan FELDA tidak boleh lagi dilihat sebagai entiti terasing, sebaliknya perlu dilibatkan secara menyeluruh dalam setiap projek pembinaan dan pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua kementerian dan jabatan kerajaan telah diarahkan supaya tidak mengetepikan kawasan FELDA dalam pelaksanaan sebarang projek atau inisiatif baharu kerajaan.

“Saya telah arahkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, semua jabatan dan kementerian, jika ada projek atau apa-apa ikhtiar baharu jangan tinggalkan FELDA sebagai satu kawasan yang terasing.

“Setiap kemudahan kerajaan dari sudut kemudahan pendidikan dan sosial juga jangan tinggalkan FELDA,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Warga FELDA di Menara FELDA di sini, kelmarin.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Baca juga : Pelantikan CEO baharu FGV akan libatkan golongan profesional – Zahid

Menurut Anwar, pendekatan lama yang meletakkan FELDA seolah-olah mampu bergerak sendiri tanpa integrasi menyeluruh dengan dasar nasional perlu dihentikan.

Beliau berkata, kehadirannya pada majlis amanat tahun ini disertai perasaan positif susulan petunjuk prestasi terkini yang menunjukkan peningkatan dari segi pengeluaran hasil, tadbir urus serta pelaksanaan program berteraskan kesejahteraan keluarga peneroka.

“Hal dulu, akibat legasi, kita kena nyahsenarai FGV Holdings di Bursa Malaysia, tetapi keputusan yang melelahkan akibat permasalahan besar itu kini dijadikan sesuatu yang membina dan nyahsenarai itu menjadi pemacu utama untuk mengangkat kedudukan FELDA,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri memuji langkah pengurusan FELDA yang menyepadukan agenda transformasi digital dalam operasi serta memberi penekanan kepada inovasi, rantaian nilai dan kemampanan.

Menurutnya, pendekatan tersebut selari dengan agenda nasional termasuk peralihan tenaga dan pemodenan ekonomi, namun menegaskan nilai, integriti dan akhlak mesti terus menjadi teras.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar sambutan ulang tahun ke-70 FELDA diadakan secara besar-besaran di kawasan FELDA sendiri, bukannya di bandar atau dewan tertutup bagi menyemarakkan semangat warga peneroka.

Anwar juga mahu syarikat berkaitan seperti Koperasi Permodalan FELDA Berhad (KPF) serta entiti lain dalam ekosistem FELDA dilibatkan secara langsung dalam penganjuran program tersebut.

Beliau berkata, dengan tekad, kesediaan bekerja sebagai satu pasukan serta sokongan kerajaan, FELDA mampu terus menjadi model pembangunan tanah yang menjadi legasi penting negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button