PMX

Israk dan Mikraj: Inspirasi perkukuh disiplin, iman umat Islam

KUALA LUMPUR – Peristiwa Israk dan Mikraj yang dilalui oleh Rasulullah SAW bukan sahaja mengandungi keistimewaan besar dalam sejarah Islam, malah menjadi asas kepada kekuatan rohani dan disiplin umat Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peristiwa itu bukan sekadar perjalanan spiritual yang menonjolkan mukjizat, tetapi juga membawa mesej penting seperti amanah solat yang menjadi tiang agama.

“Simbol kepimpinan Rasulullah SAW mengetuai solat bersama para rasul lain menggambarkan keutamaan umat Islam di bawah naungan baginda.

“Peristiwa itu mengingatkan kita untuk terus bekerja keras, berdisiplin dan mencapai itqan fil amal, di samping teguh dalam pengabdian kepada Allah SWT,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Anwar turut menekankan peranan dua kota suci, Mekah dan Baitul Maqdis dalam peristiwa besar itu yang menjadi lambang perpaduan dan keagungan umat Islam.

“Doa dan ingatan kepada rakyat Palestin yang terus ditindas perlu menjadi sebahagian daripada perjuangan kita untuk mempertahankan keadilan dan maruah mereka,” katanya lagi.

Beliau turut memetik firman Allah SWT yang mengangkat keistimewaan perjalanan baginda SAW:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah Al-Isra’, ayat 1)

Anwar mengingatkan bahawa, umat Islam perlu menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran penting untuk terus meningkatkan kualiti ibadah, komitmen terhadap kerja dan usaha memperjuangkan keadilan sejagat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button