Salah seorang suspek kes tembak pemandu lori meninggal dunia
KLANG – Salah seorang daripada dua suspek bermotosikal yang dipercayai terlibat dalam kes tembak di Jalan Keretapi Lama, dekat Tok Muda di Kapar, di sini pagi tadi disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek yang mempunyai 23 rekod lampau membabitkan pelbagai jenayah berat termasuk kes bunuh, cubaan bunuh dan samun berkumpulan meninggal di lokasi kejadian.
Beliau menambah, suspek yang meninggal dunia itu disahkan sebagai pembonceng motosikal, manakala rakannya yang menunggang kenderaan itu ketika kejadian jam 9.51 pagi mengalami kecederaan.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila dua suspek yang menggunakan motosikal jenis Yamaha Y15 dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang pekerja di Kampung Perepat.
“Seorang pemandu kenderaan yang juga majikan kepada lelaki yang disasarkan dua suspek itu, yang kebetulan menyaksikan kejadian terbabit mengejar motosikal berkenaan sehingga ke Jalan Keretapi Lama
“Apabila salah seorang suspek mengacukan objek menyerupai pistol, pemandu kenderaan terbabit melanggarnya sehingga mengakibatkan kedua-duanya terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Sri Kapar,” katanya dalam satu kenyataan, petang tadi.
Shazeli kemudiannya menambah, selain suspek yang meninggal dunia, semakan rekod mendapati rakannya turut mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan berstatus orang dikehendaki mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, polis turut menahan lelaki berusia 49 tahun yang melanggar dua suspek dalam kejadian itu yang turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan 307 Kanun Keseksaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








