RUU had tempoh jawatan PM: Fahmi dedah alasan lapan MP kerajaan tidak hadir Parlimen
CYBERJAYA – Seramai lapan Ahli Parlimen tidak hadir ketika sesi pengundian Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun di Dewan Rakyat, sekali gus menyebabkan usul berkenaan gagal memperoleh sokongan dua pertiga majoriti, kelmarin.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil mendedahkan lapan Ahli Parlimen daripada blok kerajaan yang tidak hadir itu membabitkan tiga wakil Barisan Nasional (BN).
Selain itu, ketidakhadiran tersebut turut melibatkan masing-masing seorang Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM), selain dua Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan.
“Kita dapati daripada blok Pakatan Harapan (PH), 100 peratus hadir. Semua hadir dan semua mengundi menyokong,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media di sini, semalam.
Lapan Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan tetapi tidak hadir dalam sesi itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Henry Sum Agong (Lawas), Riduan Rubin (Tenom), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Suhaimi Nasir (Libaran), Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Larry Soon (Julau) dan Datuk Seri Dr Jeffrey@ Kitingan (Keningau).
Mengulas alasan yang diberikan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Ahli Parlimen Libaran difahamkan berada di hospital, manakala Ahli Parlimen Tapah memaklumkan terpaksa menghadiri majlis doa.
“Ada juga yang memaklumkan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Namun saya rasa wartawan wajar bertanya kepada mereka sendiri,” katanya.
Kelmarin, Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.
Ia selepas RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen iaitu 148, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.
Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan oleh seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








