JENAYAH & MAHKAMAH

Bakal pengantin didenda RM2,000 simpan gambar lucah dalam telefon

MELAKA – Seorang lelaki yang bakal mendirikan rumah tangga didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan imej lucah dalam telefon bimbitnya.

Tertuduh, Muhammad Nurhakim Ridzuan Shah, 27, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyimpan beberapa imej lucah dalam telefon bimbitnya kira-kira jam 3.15 petang di Pejabat Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada 3 Ogos 2025.

Perbuatan tersebut didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Tertuduh yang bekerja sendiri dan tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan ini merupakan kesalahan pertamanya selain bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut dan tertuduh memilih untuk menjelaskan bayaran berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, siasatan bermula selepas seorang lelaki membuat laporan polis mendakwa tertuduh memuat naik gambar kenderaan miliknya bersama kata-kata berunsur fitnah di media sosial.

Susulan laporan itu, pihak polis merampas telefon bimbit tertuduh untuk siasatan forensik yang kemudian menemui imej lucah yang disimpan dalam peranti tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button