BERITA SEMASA

Kes pijak al-Quran, IPT terlibat diarah ambil tindakan ikut peraturan ditetapkan

BACHOK – Pihak universiti di mana salah seorang pelajarnya ditahan selepas didapati memijak al-Quran sudah diarah mengambil tindakan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kasir berkata, kejadian yang tular itu sudah menjadi kes polis dan beliau yakin pusat pengajian terlibat akan mengambil langkah-langkah selaras dengan peruntukan sedia ada.

Menurutnya, kes-kes seperti itu tidak boleh dibiarkan kerana ia akan menimbulkan konflik yang lebih mendalam.

“Oleh itu, langkah segera telah dilakukan oleh pihak universiti dan kita akan bertindak tegas terhadap kes berkenaan. Apabila ada tindakan menghina sesuatu agama, sudah tentu ia akan menimbulkan kemarahan yang melampau.

“Dalam konteks memijak al-Quran, ia kitab suci bagi orang Islam. Jika dilakukan kepada agama lain, pastinya ia tidak boleh dipandang ringan oleh sesiapa sahaja,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Iftar Mahabbah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)@Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Masjid UMK Kampus Bachok, di sini hari ini.

Zambry memberitahu, kes-kes khususnya yang melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) tidak boleh biarkan berpanjangan apabila langkah secara bersama perlu dilakukan dengan penuh hikmah bagi memelihara keamanan dan kestabilan negara.

Laporan media sebelum ini menyebut, seorang penuntut sebuah IPT yang sebelum ini tular kerana memijak al-Quran akan didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuantan, esok.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataannya berkata, pertuduhan ke atas pemuda itu akan dibuat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button