PRK: Anwar ucap tahniah kepada Suhaizan, Nazri
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat dan Nazri Abdul Rahman yang masing-masing memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, malam tadi.
Perdana Menteri, dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, malam tadi, berkata kemenangan kedua-dua calon itu menunjukkan perkembangan positif bagi Kerajaan Perpaduan dalam memastikan agenda pembangunan dan ekonomi rakyat dapat terus dijayakan.
“Penghargaan saya buat semua pengundi yang yakin terhadap usaha Kerajaan Perpaduan dalam membangun negara,” katanya yang juga Pengerusi PH.
Suhaizan yang Timbalan Pengerusi Amanah Johor, mempertahankan kerusi Parlimen Pulai apabila meraih 48,283 undi, menewaskan Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 29,642 undi, manakala calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi, meraih 528 undi.
Bagi DUN Simpang Jeram pula, Nazri meraih 13,844 undi menewaskan calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya yang mendapat 10,330 undi dan calon Bebas, S Jegananthan, dengan 311 undi, sekali gus turut mempertahankan kerusi yang dimenangi PH pada PRU15 lalu.
PRK kedua-dua kerusi diadakan susulan kematian kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lalu.