Perpaduan negara terus mengukuh, IPNas 2025 lepasi sasaran RMK-12
PUTRAJAYA – Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 berjaya melepasi sasaran ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) apabila mencatatkan skor 0.701, sekali gus berada pada tahap sederhana tinggi.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata, pencapaian tersebut membuktikan perpaduan rakyat Malaysia semakin kukuh, didorong semangat kebangsaan serta keyakinan yang lebih mantap terhadap tadbir urus negara.
Menurut beliau, dapatan itu turut mencerminkan peningkatan berterusan tahap perpaduan nasional sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Trend sejak 2018 memperlihatkan peningkatan konsisten daripada 0.567 kepada 0.629 pada 2022 dan seterusnya 0.701 pada 2025.
“Peningkatan itu menggambarkan pengukuhan berterusan tahap perpaduan nasional,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Sarawak mencatat tahap perpaduan tertinggi dengan skor indeks 0.791, mencerminkan kekuatan nilai komuniti serta toleransi antara etnik di negeri berkenaan.
“Wilayah Timur merekodkan skor kedua tertinggi iaitu 0.741 diikuti Sabah dan Labuan dengan skor 0.726.
“Wilayah Selatan pula merekodkan skor 0.719, manakala Wilayah Tengah dan Wilayah Utara masing-masing mencatat skor 0.670 dan 0.650,” katanya.
Mengulas lanjut, Aaron berkata, data IPNas 2025 secara berasingan mengikut negeri menunjukkan tiga negeri mencatat skor tertinggi iaitu Pahang (0.817), Melaka (0.816) dan Sarawak (0.791).
“Faktor utama yang mempengaruhi perpaduan negara ialah Tadbir Urus dan Pembangunan (TUP) dengan sumbangan sebanyak 69.7 peratus, merujuk kepada kecekapan, keadilan dan ketelusan kerajaan dalam pengurusan kuasa serta sumber bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Dalam kajian ini, TUP diukur berdasarkan persepsi rakyat terhadap enam komponen utama iaitu pengurusan ekonomi, politik, jenayah, perkhidmatan awam, kemudahan awam dan pengurusan masyarakat, yang mencerminkan tahap keberkesanan kerajaan dalam memenuhi keperluan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








